MODEL SISTEM EKONOMI ISLAM DAN KEWANGAN NEGARA ISLAM BERDASARKAN KONTEKS MALAYSIA

MODEL SISTEM EKONOMI  ISLAM DAN KEWANGAN NEGARA ISLAM  BERDASARKAN  KONTEKS MALAYSIA

Oleh:

DATUK PADUKA HAJI HUSAM MUSA

PENGERUSI JAWATANKUASA (EXCO) PERANCANGAN EKONOMI

KEWANGAN DAN KEBAJIKAN KERAJAAN NEGERI KELANTAN

 (Kertas kerja ini telah dibentangkan pada 24 Novemver 2011, di Seminar Kebangsaan dan Pemikiran Islam (SKPPI) , KUIS.

Untuk memperkatakan seluruh sistem ekonomi dan kewangan Islam dalam masa yang singkat, tentulah tidak mungkin.

Apa yang boleh dilakukan ialah memetik beberapa aspek darinya.

Menjadi tukang sunting untuk memetik mana yang perlu, juga tidak mudah. Kecuali satu bingkai tertentu diletakkan. Dalam konteks kita, bingkai iaitu tajuk yang diberikan juga cukup luas.

Lantaran itu, saya menggunakan budi bicara saya sendiri untuk ‘memilih ikut mana yang saya relevan dan cocok dengan ruang masa’. Saya bertolak  dari Negara – yang semestinya berkait dengan governance atau tataurus Kerajaan.

Berkerajaan atau governing meliputi : kepimpinan, dasar, sistem, undang-undang, akhlak yang komprehnesif sifat dan maknanya, keselamatan,    masyarakat dan lainnya.

 

Membicarakan sistem ekonomi, sudah tentu terkait dengan semua itu. Jika diibaratkan ekonomi itu ikannya, persekitaran lain itu adalah laut atau sungainya. Kejayaan model ekonomi Islam secara komprehensif tidak boleh berdiri sendiri tanpa dokongan unsur yang lain itu.

Izinkan saya terlebih dahulu menarik perhatian hadirin terhadap beberapa model berkerajaan dan ekonomi yang dihidangkan oleh Al Qur’an. Antara lain ialah Model  Perancangan Ekonomi/Longterm Economic Planning Nabi Yusuf,  yang saya gelarkan sebagai Yusufonomics. Model Zulkarnain berteraskan ‘rule of law’, model ‘kecanggihan teknologi’ Nabi Sulaiman a.s. dan model Nabi Daud a.s, selain model Nabi Muhammad s.a.w dan Khulafa’ Ar Rasyidin.

Di bawah model Zulkarnain, antara ciri governance ialah;

a. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

Prinsip Kedaulatan Undang-undang dan Hukum dengan adanya unsur imbalan kebaikan setimpal dan punishment/hukuman  terhadap keburukan dan bukan sebaliknya. Tamadun mana pun jua, hanya boleh dibangunkan bila kesaksamaan hukum dan keselarian dasar jelas tertegak.

قَالَ أَمَّا مَن ظَلَمَ فَسَوْفَ نُعَذِّبُهُ ثُمَّ يُرَدُّ إِلَى رَبِّهِ فَيُعَذِّبُهُ عَذَابًا نُّكْرًا (18:87)

 

18:87 (Malay) “Berkata Zulkarnain: “”Adapun orang yang aniaya, maka kami kelak akan mengazabnya, kemudian dia dikembalikan kepada Tuhannya, lalu Tuhan mengazabnya dengan azab yang tidak ada taranya.”

وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُ جَزَاء الْحُسْنَى وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا (18:88)

 

18:88 (Malay) “Adapun orang-orang yang beriman dan beramal saleh, maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan, dan akan kami titahkan kepadanya (perintah) yang mudah dari perintah-perintah kami””.”

 

Salah dan betul dipatuhi oleh semua, terlebih lagi Penguasa. Pada setiap masa tanpa kecuali dan untuk siapa jua tanpa pilih bulu.

Alan Greenspan dalam memoirnya The Age of Turbulence, memperkatakan mengenai peri pentingnya ‘rule of law’ hatta bagi US, dalam menjamin kepercayaan pelabur dan pemain ekonomi. Tanpanya, ia akan menjejaskan ekonomi di luar dari yang dijangkakan.

Konsep ‘rule of law’ bukan semata mengenai undang-undang dan mahkamah tetapi jua keselarian polisi dan dasar atau  policy coherence. Bermakna, tidak ada dua atau tiga atau lebih dasar yakni berubah-ubah polisi dalam isu atau tajuk yang sama.

Kita ambil contoh bayaran royalti 5% bagi negeri pengeluar petroleum. Jika pada satu masa, bayaran itu telah menjadi amalan, kemudian dibatalkan, diteruskan semula dan dibatalkan lagi, ia jelas tidak selari, berubah-ubah, tidak tetap, logik yang berlawanan dan  lainnya yang membawa masuk tidak coheren.

Lantas, amalan ‘rule of law’ adalah rendah dan asas tamadun atau Negara Madani, sebagai lawan dari Negara Badawi,  seperti sebutan Al Farabi, akan menjadi rendah.

b. JAMINAN KEAMANAN

Wujudnya  jaminan keamanan dan keselamatan adalah ciri kedua dalam sistem governance Zulkarnain yang ditonjolkan oleh Al Qur’an;.

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (18:94)

 

18:94 (Malay) “Mereka berkata: “”Hai Zulkarnain, sesungguhnya Ya’juj dan Makjuj itu orang-orang yang membuat kerusakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?”””

 

قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (18:95)

18:95 (Malay) “Zulkarnain berkata: “”Apa yang telah dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka,”

 

Keselamatan, termasuk dari ancaman jenayah, baik apa kolar jua termasuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, akan menjejaskan perjalanan ekonomi sesebuah negara.

Ketika Islam menekankan perlunya undang-undang yang efektif supaya semua peringkat jenayah dapat dihindari, sebenarnya ia juga membicarakan ‘keselamatan ekonomi’ sesebuah negara itu.

Ambil sahaja ‘kecurian‘ sebagai aksi ekonomi menyimpang. Baik harta negara mahu pun harta rakyat awam, ia menimbulkan rasa kurang aman, pertambahan kos pengeluaran dan gangguan ekonomi.

Undang-undang yang efektif bertujuan melindungi jutaan pemain ekonomi terhadap satu dua kerat perosak ekonomi yang dipanggil pencuri tadi. Tanpa kecurian, jutaan rakyat dapat melindungi kepentingan ekonomi mereka dengan baik dan teratur.

 

Jika kecurian sudah menjadi satu wabak, perjalanan ekonomi juga terencat. Adapun apa bentuk undang-undang yang efektif itu boleh didiskusikan sehingga difahami bersama.

Namun, keselamatan dari jenayah juga, bagi saya, sebuah instrumen ekonomi dari satu sudut.

c. TAMADUN DAN KEMAJUAN

Membawa tamadun kepada setiap anggota masyarakat yang masih mundur dan primitif, tergambar dalam penjelajahan pembesaran kekuasaan Zulkarnain;

 

حَتَّى إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَى قَوْمٍ لَّمْ نَجْعَل لَّهُم مِّن دُونِهَا سِتْرًا (18:90)

18:90 (Malay) Hingga apabila dia telah sampai ke tempat terbit matahari (sebelah Timur) dia mendapati matahari itu menyinari segolongan umat yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sesuatu yang melindunginya dari (cahaya) matahari itu,

Kita beralih kepada model Yusufonomic. Dalam model Yusufonomic, isu-isu ekonomi baginda antara lain ialah;

a. Keselamatan bekalan makanan negara atau food security

b. Sistem resources preservation dan value added

c. Pelan ekonomi jangka panjang

d. Pelan ekonomi menghadapi perubahan cuaca

e. Negara berkebajikan

f. Kemakmuran serantau

g. Penjimatan sumber

h. Produktiviti

i. Keadilan pemerentah

j. Pemilihan berdasarkan kelayakan atau merit untuk penjawat penting awam

k. Kehidupan rural dan urban

l. Sistem kewangan yang mantap

Dan lain-lain polisi yang boleh diunjurkan dari kisah berkerajaan Yusuf. Sayangnya, kekangan masa tidak mengizinkan saya merperincikan setiap satu darinya.

Dalam model governance Nabi Sulaiman, antara perkara utama ialah;

a. Penguasaan teknologi canggih

b. Kemahiran pelbagai bahasa

c. Sistem risikan maklumat

d. Kepentingan knowledge base society

e. Kepimpinan

f. Masyarakat berdisiplin sebagai asas tamadun

Juga, ruang terbatas ini tidak membolehkan saya melebarkan perbincangan ke atas tiap satu darinya.

Saya sekarang beralih kepada maqasid ekonomi Islam, secara terpilih.

Pertama, kesaksamaan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang seimbang.

Satu dari aspek DEB ialah menyusun semula kekayaan ekonomi mengikut kaum. Malangnya, dalam penekanan memperbaiki kedudukan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera, yang dipanggil affirmative policy, kita sampai kepada tahap to discriminate.

Orang India dan Cina yang juga miskin dinafikan economic rights tertentu. Sebenarnya, dipandang dari semua sudut prinsip ekonomi Islam, polisi dan amalan seperti itu  adalah salah dan terlarang.

Tidak salah memberikan ransangan, perlindungan dan peluang ekonomi kepada kaum Melayu dan Bumiputera tetapi pada masa yang sama, golongan tertinggal dari semua kaum lain juga wajib dibantu oleh Negara.

Islam tidak mengenal rujukan ekonomi mengikut batas kaum seperti itu. Sepanjang Al Qur’an berbicara tentang fakir/hard core poor dan miskin/poor, Al Qur’an tidak merujuk kepada aqidah mereka, apa tah lagi bangsa dan keturunan mereka.

Polisi itu, dalam pengalaman Malaysia sendiri, ternyata berkesan negatif. Dari satu segi, kedudukan orang Melayu sendiri tidak berubah seperti diharapkan. Masa yang sama, luka dan kesan sosial di hati kaum yang lain adalah sangat parah. Hindraf dilihat sebagai satu letusan fenomena, adalah contoh tidak balas dari perasaan tidak puas hati atas status ekonomi dalam konteks dua dasar yang berbeza untuk masyarakat miskin itu.

Rasa tidak puas hati, geram, iri dan cemburu kaum adalah merbahaya bagi keseluruhan kehiduoan ekonomi dan politik negara kita.

Dalam kes penafian kemudahan bantuan pendidikan yang setara antara kaum, juga membawa kepada pembaziran sumber manusia yang berakibat menghalang kepada transformasi ekonomi yang lebih pantas.

Islam membawa dasar ‘kekayaan itu jangan hanya beredar dalam kelas dan kelompok tertentu masyarakat’. Ia dilarang;

مَّا أَفَاء اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاء مِنكُمْ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (59:7)

59:7 (Malay) “Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.

aLarangan ini bukan hanya dalam batas kaum. Ia juga boleh dilihat dalam konteks wilayah. Tidak dibolehkan ketidaksaksamaan antara wilayah, samada  atas sebab politik atau lainnya.

Pada hari ini, keseimbangan dalam pelbagai indikator sosial dan ekonomi, wujud antara pelbagai wilayah dalam negara kita. Sabah dan Sarawak atau negeri Malaysia Timur, banyak ketinggalan pada ketika kedua negeri ini sebenarnya amat kaya. Ketinggalan berbanding negeri Malaysia Barat mahu  pun antara kelas dalam negeri masing-masing.

Kelantan, secara latar belakang sejarah dan design politik, adalah contoh lain dari ketidaksamaan wilayah.

Hingga hari ini, hak royalti Kelantan dihalang. Pendaratan gas dan petroleum Kelantan juga dialihkan secara sengaja ke negeri lain. Terbaru, ialah pendaratann gas dari Malay Basin dalam perairan Kelantan seratus peratus ke Terengganu yang jaraknya lebih jauh dan kosnya lebih tinggi, untuk memuaskan hati designer politik ini terus menerus.

Ia mengakibatkan peluang kerja, peluang niaga, kesan berganda ekonomi, peningkatan kemudahan prasana dan pelbagai manfaat ekonomi yang lain dari pelaburan bernilai RM 15 b itu.

Pendiskriminasian itu juga boleh dilihat dalam kes peruntukan dana untuk bekalan air. Ketika Negeri lain seperti Johor dan dulunya Selangor diberikan kemudahan grant berbillion ringgit sejak awal, Kelantan hanya diberikan kemudahan pinjaman sejumlah RM 600 juta, meliputi perbelanjaan pembinaan loji rawatan, menggantikan paip usang dan lain-lain baru hanya beberapa tahun ini dan itu pun dalam bentuk pinjaman berbunga berbanding grant bagi negeri yang sudah sedia maju.

PENGLIBATAN KELUARGA PEMIMPIN DALAM PERNIAGAAN

Sensitifnya Islam dalam konteks penglibatan ekonomi Keluarga pemimpin dalam perniagaan dapat dilihat dalam larangan oleh Khalifah Umar terhadap anaknya.

Khalifah Umar dengan tegasnya melarang anaknya terlibat dalm penternakan haiwan di atas padang ragut awam kerana dibimbangi penternak lain akan menyangka anak Khalifah mempunyai hak istimewa ke atas padang ragut itu.

Khalifah Abu Bakar sebelumnya, telah diminta berhenti dari urusan perniagaannya selama ini, sebaik baginda memegang jawatan khalifah.

Unsur conflict of interest itu sangat dijaga.

Ini kerana, pemimpin bagi Islam bukan bertujuan mencari kekayaan peribadi atau keluarga, melainkan melindungi dan membuka peluang kekayaan kepada raakyat yang ditadbir oleh mereka.

Dari sini lahir ketelusan, odit dan perisytiharan kepentingan mahu pun harta.

Secara simple, ia digambarkan oleh pertanyaan on the spot oleh seorang rakyat terhadap Khalifah Umar di masjid tentang baju yang dipakai oleh baginda. Dari mana sumbernya? Atau ‘pedang‘ iaitu kebenaran akan ditegakkan oleh rakyat ke atas Umar.

Tiada protokol Parlimen, tiada sekatan. Pertanyaan terbuka ala public inquiery.

Konsep ini diluaskan kepada institusi HISBAH oleh Islam kemudiannya.

Hisbah meliputi odit dan tindakan negara ke atas laporan odit. Odit semata hanya akan menjadi lipstick tanpa ‘taring’ pemerentah.

Odit ke atas kekayaan pemimpin boleh dibuat bertolak dari perisytiharan harta para pemegang jawatan awam negara.

Ia sangat berkesan dalam mengelakkan penyelewengan dan tindakan mengaut kekayaan.

Ini membolehkan kita menyimpulkan bahawa, dalam praktis Islam, kedua-dua unsur keperibadian bertaqwa dan soleh dan sistem yang juga soleh adalah bergandingan.

Islam sangat mementingkan keperibadian kukuh namun keperibadian kukuh semata mungkin dilumpuhkan oleh sistem yang korup. Sistem yang baik semata dengan mudahnya dapat di bend kan oleh peribadi yang tidak baik.

Terbebasnya pemimpin dari amalan ekonomi dan kewangan berkepentingan akan  membawa kepada kecekapan dalam ekonomi, penjimatan sumber dan transformasi yang sebenar.

ZAKAT RIKAZ DAN PENYUSUNAN MASYARAKAT

Zakat, secara komprehensif, adalah antara instrumen kewangan  terpenting NEGARA. Ia adalah sebahagian dari instrumen Perbendaharaan Negara. Baik dari duduk letaknya di bawah Negara secara langsung mahupun dari segi agensi pengurusannya yang lebih konkrit, fokus dan meliputi.

Saya bold-kan NEGARA kerana  instrumen ini sepanjang zaman keemasan Islam, adalah berada langsung di bawah pusat pemerentahan.

Satu dari aspek Zakat ialah Rikaz, yang sangat kurang diperhatikan.

Dalam konteks negara kita, hasil petroleum sebagai kenaan  zakat rikaz sangat berpotensi mencapai maqasid menangani masalah kemiskinan secara keseluruhan, termasuk kemiskinan masyarakat bukan Islam serta menyatupadukan rakyat.

Ini kerana penggunaan wang zakat bagi masyarakat bukan Islam adalah sebahagian dari agenda melalui asnaf  yang dikenal sebagai mu’alaf.

Selama ini, konsep mu’alaf hanya difahami sebagai orang baru menerima Islam. Sedangkan, pengertian sebenar meliputi masyarakat belum menerima Islam.

Perbezaan antara cukai dan rikaz ialah ia didedikasi khusus kepada lapan kumpulan sasar ekonomi. Sedang cukai, penggunaannya adalah luas dan tidak terfokus kepada kumpulan sasar yang tertentu.

Dalam anggaran saya, jika Petronas menyumbangkan kepada rikas, paling tidak 2.5% bayaran rikaz dan dikendalikan oleh badan khas profesional dengan mengambil kira faedah kewangan meliputi masyarakat bukan Islam, isu kemiskinan di seluruh negara Insya Allah dapat diselesaikan kurang dari lima tahun.

EKONOMI DINAR DAN DIRHAM

Tidak sempurna kertas saya  tanpa menyentuh ekonomi kedua matawang berasaskan komoditi bernilai intrinsik ini.

Dinar dengan base emas dan dirham dengan base perak, mempunyai fungsi wang yang lebih kukuh dan luas dari kertas.

Selain boleh menjadi teras simpan nilai – dan kerana itulah banyak amalan syari’ah merujuk kepada dinar dan dirham sebagai asas – ia juga brperanan sebagai alat pelaburan.

Namun, fungsi paling berkesan D n D ialah alat transaksi bebas riba.

Pembebasan dari amalan riba sepenuhnya tidak dapat disempurnakan oleh Bank Islam semata-mata tanpa fundamentals wang itu sendiri turut berubah.

Kebaikan D n D hanya boleh dirasai sepenuhnya bila ia berfungsi sebagai wang yang teredar.

Perbincangan lanjut mengenainya boleh dikembangkan di lain kesempatan.

Sekian. Terima Kasih.

Husam Musa

Firefly KB-Subang FY 2061. 8.45 pagi

24 Nov 2011

28 12 1432

Biro dokumentasi SKPPI KUIS

(Diterbit Dengan Izin)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s