Seminar Kebangsaan Peradaban & Pemikiran Islam, KUIS, 24 Disember 2011.

b3

Patriotisme Mukmin Membina Pemikiran dan Peradaban Islam.

Oleh:

Rosfazila Binti Abd. Rahman

Siti Rashidah Bt Abd. Razak

Akademi Islam, KUIS.

Zetty Nurzuliana Bt Rashed

Fakulti Pendidikan, KUIS.

Abstrak

Patriotisme dan aspek-aspek kenegaraan adalah nilai-nilai penentu kepada jati diri dan riwayat sesebuah negara bangsa. Mukmin umumnya merujuk kepada muslim yang menjadi lawan dari kafir, Mukmin juga adalah muslim yang sempurna dengan tingkatan yang tinggi di atas tingkatan Islam. Kajian ini bertujuan menjelaskan mengenai konsep patriotisme dan jati diri  dalam kalangan Mukmin yang mampu membina pemikiran dan peradaban Islam. Kajian memfokuskan kepada kefahaman dan pengamalan nilai patriotik seorang mukmin bukan sahaja membantu memantapkan jati diri malah dapat memantapkan integriti dalam kenteks yang lebih holistik. Kajian mengadaptasi metode kajian kepustakaan. Dapatan kajian akan menilai hipotesis bahawa pemahaman dan pengalikasian patriotisme yang baik dalam kalangan mukmin memantapkan jati diri individu dan mengukuhkan kecintaan terhadap agama, bangsa dan negara.

 

Pendahuluan

 

Patriotisme dan aspek-aspek kenegaraan adalah nilai-nilai penentu kepada jati diri rakyat dan riwayat sesebuah negara bangsa. Pengaplikasikan konsep patriotisme dalam kehidupan dan mewujudkan warga yang tinggi jati diri, cintakan negara dan sanggup berjuang mempertahan dan memakmurkan negara. Individu adalah entiti tunggal masyarakat, patriotisme adalah jiwa warga yang cintakan negara dan jika individu patriotik ini merupakan seorang Muslim mukmin, lengkaplah hala tuju kehidupan secara holistik. Justeru, Patriotisme mukmin bukan sahaja melahirkan warga yang patriot malah Membina Pemikiran dan Peradaban Islam sebagai cara hidup syumul.

 

Latar Belakang Kajian

 

Patriotisme adalah konsep yang luas. Dalam konteks nasional, patriotisme amat sinonim dengan semangat serta tindakan yang membayangkan kecintaan kepada agama, bangsa dan negara. Menurut pemerhatian khalayak, sesetengah warga dilihat tidak memiliki semangat patriotik, jiwa kelihatan lesu, tidak bersemangat dan membudayakan cara ikut-ikutan serta berseronok sahaja[1]. Justeru, pelbagai usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan seluruh warga terutamnya generasi baharu. Warga sering disarankan supaya menanam semangat patriotik dalam diri dan merenungi perjuangan ikhlas bekas pemimpin-pemimpin negara yang memerdekakan negara daripada penjajahan[2].

 

Permasalahan Kajian

 

Kajian terdahulu berkaitan patriotisme banyak menerangkan secara konseptual, penelitian  semangat patriotik pemimpin-pemimpin dan pejuang-pejuang negara dan saranan supaya meningkatkan semangat cintakan tanahair. Kajian personaliti membuktikan bahawa warga yang tinggi tahap patriotismenya mampu menjadi warga yang baik lantas menyumbang kepada kemajuan negara samada secara fizikal atau bukan fizikal. Kesan patriotisme sebegini kelihatan seakan sehala dan tidak kekal. Justeru, elemen individu mukmin diserap bagi menunjukkan kesan patriotisme yang lebih integratif dan holistik. Mukmin patriotik bukanlah sekadar individu yang sekadar cintakan negara semata-mata malah cintakan agama, bangsa dan berwawasan dunia dan akhiratnya.

 

 

 

Objektif Kajian

 

1-   Menjelaskan konsep patriotisme dan jati diri.

2-   Menjelaskan mengenai konsep patriotisme mukmin.

3- Menjelaskan bagaimana patriotisme mukmin memantapkan jati diri dan mengukuhkan   kecintaan terhadap agama, bangsa dan negara.

 

Hipotesis Kajian

 

Kajian mengandaikan bahawa pemahaman dan pengalikasian patriotisme yang baik dalam kalangan mukmin memantapkan jati diri individu dan mengukuhkan kecintaan terhadap agama, bangsa dan negara.

 

Definisi Operasi Kajian

 

Patriotisme

 

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, patriotisme bermaksud perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air[3]. Manakala perkataan patriot pula merujuk kepada orang yang mencintai dan mempertahankan kedaulatan negaranya, sebagai pembela negara. Perkataan patriotik pula merujuk kepada seseorang yang bersifat patriot.

Patriotisme juga bermaksud sikap positif dan menyokong tanahair. Tanahair pula berasal daripada perkataan patria dalam bahasa Latin dan patrida dalam bahasa Greek. Tanahair boleh dimaksudkan sebagai kawasan atau bandar namun patriotisme lebih merujuk kepada negara dan negara bangsa [4].

 

Patriotisme mencakupi sikap seperti bangga dengan pencapaian dan budaya, keinginan untuk menjaga dan mengekalkannya, menjadi asas budaya dan sikap kebersamaan dengan seluruh warga. Patriotisme seringkali dikaitkan dengan nasionalisme dan penggunaanya adalah sinonim.

Walaubagimanapun, nasionalisme adalah ideologi tetapi selalu menggunakan semangat patriotik sebagai unsur [5].

 

Patriotisme mempunyai maksud etika: Ia bererti tanahair adalah satu standard moral atau nilai. Ekspresi right or wrong my country atau “benar atau salah, negaraku” adalah bentuk patriotisme ekstrem. Ia bermaksud individu perlu meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan kumpulan dan kepentingan peribadi. Berkorban nyawa untuk negara dalam peperangan adalah contoh bentuk patriotisme ektrem [6]. Justeru, patriotisme dapat dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan seseorang terhadap negaranya sendiri. Seseorang itu dianggap patriot apabila tindakan dan amalannya menepati ciri-ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara [7].

 

Justeru, Merujuk kepada maksud tersebut, patriotisme merupakan satu perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Rasa cinta tersebut dapat dibuktikan samada melalui perkataan, penulisan mahupun perbuatan. Melahirkan rasa cinta melalui perkataan termasuklah dengan berdoa memohon kesejahteraan negara serta berikrar taat setia pada negara berdasarkan  apa yang dipaterikan dalam Rukun Negara. Manakala rasa cinta yang kuat terhadap negara pula wajar diterjemahkan melalui penulisan seperti puisi, sajak, esei dan lain-lain dapat membangkitkan rasa kekuatan membela bangsa, agama dan negara. Rasa kecintaan yang paling tinggi adalah apabila seseorang sanggup mempertahankan agama dan negaranya di medan peperangan.

 

 

Jati Diri

 

Jati bermaksud sejati, sebenarnya; tidak palsu atau bukan campuran; tulen; asli [8]. Diri bermaksud orang seorang; empunya badan [9]. Justeru, jati diri bermaksud individu yang mempunyai kesejatian, ketulenan dan keaslian nilai dan konsep diri. Jati diri sering berhubungkait dengan konsep pengukuhan dan penghayatan yang tulus, kepercayaan yang mendalam dan tidak berbelah bahagi serta pengukuhan yang bermanfaat. Ia disusuli pula dengan penghayatan, penilaian, azam, usaha, meninggalkan amalan keji dan melakukan yang terbaik [10]. Justeru dapat disimpulkan bahawa jati diri adalah konsep yang menggambarkan sikap yang baik.

 

Islam, Iman dan Ihsan.

 

Tidak ada keberuntungan bagi umat manusia di dunia dan akhirat kecuali dengan Islam. Islam adalah penerang yang menjelaskan perkara yang bermanfaat dan berbahaya. Agama Islam ada tiga tingkatan: Islam, iman dan ihsan. Dan setiap tingkatan mempunyai rukun.

Islam dan iman bila disebutkan secara bersamaan, maka yang dimaksud dengan Islam adalah amal perbuatan yang nampak, iaitu rukun Islam yang lima, dan pengertian iman adalah amal perbuatan yang tidak nampak, iaitu rukun iman yang enam. Dan bila hanya salah satunya (yang disebutkan) maka maksudnya adalah makna dan hukum keduanya.

Ruang lingkup ihsan lebih umum daripada iman, dan iman lebih umum daripada Islam. Ihsan lebih umum dari sisi maknanya; kerana ia mengandung makna iman. Seorang hamba tidak akan menuju martabat ihsan kecuali apabila ia telah merealisasikan iman dan ihsan lebih spesifik dari sisi pelakunya; kerana ahli ihsan adalah segolongan ahli iman. Maka, setiap muhsin adalah mukmin dan tidak setiap mukmin adalah muhsin.

Iman lebih umum daripada Islam dari maknanya; kerana ia mengandung Islam. Maka, seorang hamba tidak akan sampai kepada tingkatan iman kecuali apabila telah merealisasikan Islam dan iman lebih spesifik dari sisi pelakunya; karena ahli iman adalah segolongan dari ahli Islam (muslim), bukan semuanya. Maka, setiap mukmin adalah muslim dan tidak setiap muslim adalah mukmin [11].

Patriotisme Mukmin

 

Mukmin merupakan kata terbitan  dari perkataan amana yang bermaksud percaya. Iman dari sudut bahasa bermaksud membenarkan dengan hati, melafazkan dengan lidah serta beramal dengan anggota melalui perbuatan.[12].Manakala dari istilah akidah iman adalah mempercayai rukun Iman[13]. Mukmin pula merujuk kepada orang yang percayai dan yakin kepada Allah dengan membenarkan dengan hati melafazkan dengan lidah serta beramal dengan anggota melalui perbuatan menerusi rukun iman yang enam.

Ciri-ciri patriot Mukmin

Bagi memastikan patriot Mukmin dapat dihasilkan di kalangan pemuda masa kini, maka beberapa ciri patriot mukmin telah dikupas berdasarkan kepimpinan rasulullah saw.Rasulullah menegaskan bahawa apabila sesuatu tugas atau pimpinan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, dia akan membawa kebinasaan kepada bangsa tersebut. Maka antara keutamaan yang perlu dilihat dalam mencorak patriot Mukmin adalah seperti berikut:

Cinta kepada Rasulullah saw

Dari Anas bin Malik ra, ia berkata, ‘Rasulullah saw bersabda, ‘Tidak beriman (sempurna) seseorang di antara kamu sehingga aku lebih dicintainya dari pada ayahnya, anaknya, dan menusia sekalian.” Muttafaqun ‘alaih.[14]

 

Mencintai orang-orang yang beriman

Dari Abu Hurairah ra, ia berkata, ‘Rasulullah saw bersabda, ‘Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak beriman sehingga kamu saling mencintai. Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu yang apabila kaum lakukan nescaya kalian saling mencintai, tebarkanlah salam di antara kamu.” HR. Muslim[15]

Mencintai saudaranya sesama Islam

Dari Anas bin Malik ra, dari Nabi saw, beliau bersabda, “Tidak beriman (sempurna) seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya –atau tetangganya- apa yang dia cintai untuknya dirinya.” Muttafaqun a’alaih[16]

Mencintai tetangga dan tamu, serta berkata perkara yang baik

Dari Abu Hurairah ra, dari Rasulullah saw, beliau bersabda, “Barang siapa beriman kepada Allah swt dan hari akhir, hendaklah dia berkata baik atau diam. Barang siapa yang beriman kepada Allah swt dan hari akhir, hendaklah ia memuliakan tetangganya. Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah dia memuliakan tamunya.” Muttafaqun ‘Alaih.[17]

Memerintahkan yang ma’ruf dan melarang yang mungkar

Dari Abu Sa’id al-Khudri ra, ia berkata, “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda, ‘Barang siapa di antara kalian melihat yang mungkar (yang dilarang agama) hendaklah ia merubahnya dengan tangannya. Jika ia tidak mampu, maka (hendaklah dia merubahnya) dengan lisannya. Jika ia tidak mampu, maka (hendaklah dia merubahnya dengan hatinya, dan itulah selemah-lemahnya iman.” HR. Muslim.[18]

 

 

Nasihat

Dari Tamim ad-Darimi ra, bahwasanya Nabi saw bersabda, ” Agama adalah nasihat.’ Kami bertanya, ‘Untuk siapa?’ Beliau menjawab, ‘Untuk Allah swt, kitab-Nya, rasul-Nya, para pemimpin kaum muslimin dan umat Islam secara umum.” HR. Muslim. [19]

Iman amalan yang paling utama

Dari Abu Hurairah ra, sesungguhnya Rasulullah saw ditanya: ‘Apakah amalan yang paling utama?’ Beliau menjawab, ‘Iman kepada Allah swt dan Rasul-Nya.’ Beliau ditanya lagi, ‘Kemudian apa?’ Beliau menjawab, ‘Jihad di jalan Allah swt’ Beliau ditanya lagi, ‘Kemudian apa?’ Beliau menjawab, ‘Haji yang mabrur.” Muttafaqun ‘Alaih.[20]

Memelihara perkara yang wajib.

Seorang mukmin yang baik dapat dilihat dari beberapa ciri asas termasuklah memelihara perkara yang wajib. Seseorang yang mempunyai rasa cinta yang kuat terhadap tanah air belum cukup untuk dilabelkan sebagai patriot yang bagus jika melalaikan perkara-perkara wajib.Memelihara perkara yang wajib adalah tuntutan dan sekaligus membawa keberkatan kepada negara.

Kita digalakkan berdoa seperti firman  Allah dalam Al Qur’an dengan maksudnya:

“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami anak-anak penyejuk mata dan jadikanlah kami bagi muttaqin sebagai ketua”

Membiasakan perkara yang sunat

Amalan sunat adalah antara perkara yang dilaksanakan bagi menampung kekurangan dalam amalan wajib. Sebagai contoh sejarah,salah satu kaedah melantik panglima perang,Rasulullah akan bertanya soalan asas berkaitan solat berjemaah di masjid, solat sunat, puasa sunat, sedekah dan sebagainya bagi memastikan orang yang dilantik kuat takwanya.

 

Amanah

Seorang patriot mukmin juga perlu memiliki sifat amanah.Tanggungjawab sebagai wargananegara bahkan pemimpin merupakan satu amanah bukannya satu anugerah.Oleh yang demikian, seorang patriot mukmin sewajarnya memiliki sifat amanah dengan bertanggungjawab memerintah atau menjaga keamanan negara dengan adil serta menjunjung segala pensyariatan-Nya.[21]

Bijaksana

Patriot mukmin wajar mempunyai keistimewaan yang membezakannya dengan yang bukan Islam. Patriot Mukmin mesti mampu menunaikan tanggungjawab kepimpinannya dengan memiliki ilmu pengetahuan adab pengalaman yang baik. [22]Selain itu mereka perlu bersedia mendampingi para ulama sekiranya tidak mempunyai ilmu pengetahuan keagamaan kerana institusi ulama merupakan rujukan penting bagi umat Islam terhadap segala permasalahan.

Patriotisme mukmin Membina Pemikiran dan Peradaban Islam

 

Patriotisme secara tunggal tidak memberi maksud yang tepat bagi seorang mukmin walaupun individu tersebut mempunyai ciri-ciri patriotisme dalam dirinya. Maka, apabila patriotisme disandarkan bersama-sama perkataan mukmin ia lebih menjelaskan sifat sebenar patriotisme yang sejajar dengan kehendak Islam.

Faktor sebenar yang menyebabkan patriot mukmin kuat adalah faktor dalaman bukanlah faktor luaran. Faktor dalaman ini termasuklah sifat takwa, adil, amanah serta bijaksana yang dapat melestarikan kepimpinan yang teratur serta membawa keamanan dan kemakmuran negara. Pengorbanan mereka yang tinggi mempertaruhkan harta, nyawa dan keluarga adalah ikhlas dan redha kerana Allah SWT bukan mengharapkan balasan dunia seperti pangkat,kekayaan serta kemasyhuran. Jati diri sebegini perlu diperkuatkan kepada generasi masa kini melalui akiviti dan wadah yang pelbagai.

 

Tokoh Patriot Mukmin

Tokoh patriotisme Mukmin yang terulung adalah Rasulullah saw. Semangat patriotisme baginda sangat ketara apabila baginda bukan sahaja berkorban harta, masa dan tenaga bahkan menggadaikan nyawa demi menegakkan kalimah tauhid serta mempertahankan kedaulatan bangsa.

Rasulullah saw

Baginda rasulullah saw menjadi contoh terbaik. Sebagai contoh ketika mula di Madinah baginda bukan sahaja mendirikan masjid serta mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, bahkan baginda bertindak lebih ke hadapan dengan menetapkan tanggungjawab setiap anggota masyarakat menerusi Piagam Madinah. Kebijaksanaan baginda menyusun pentadbiran dengan teliti sangat berkesan. Ini menyerlah ciri benar, amanah, menyampaikan serta bijaksana yang ada dalam diri baginda. Di samping bertindak sebagai ketua negara, baginda juga merupakan seorang ketua hakim, ketua peperangan serta turut meneruskan risalah dakwah[23].

Khulafa’ Ar Rasyidin

Contoh semangat patriotisme yang ditonjolkan oleh para sahabat juga tidak dapat disangkalkan lagi. Khulafa’ ar Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al Khattab, Usman ibn ‘Affan dan Ali bin Abi Talib telah sama-sama membuktikan kecintaan mereka yang tinggi terhadap tanah air. Mereka semua bukan sekadar memerintah dan mentadbir negara dengan baik bahkan turut keluar berperang bersama-sama kaum muslimin yang lain.Inilah patriot sejati, bukan sekadar mengeluarkan arahan, bahkan sama-sama keluar berperang mempertahankan kedaulatan negara.

Patriotisme mukmin : Tanggungjawab ibu bapa

Ibu bapa perlu mengambil peluang bagi mendekati dan memahami, sekaligus mendidik anak mereka dengan penuh kasih sayang. Dalam konteks pendidikan anak-anak, ibu bapa harus berfikiran terbuka dan sentiasa mengharapkan keredaan Allah SWT dalam setiap tindakan yang mereka lakukan.
Justeru, sebagai ibu bapa mereka sewajarnya mempunyai ciri-ciri sebagai seorang pendidik yang baik. Dalam konteks kajian, ibu bapa perlulah menjadi mukmin patriotik. Mereka perlu menjadi contoh ikutan kepada anak-anak. Jadi, ibu bapa harus mengatur kehidupan mereka dengan sebaik mungkin untuk menjadi contoh dan ikutan terbaik.

Begitu juga, Rasulullah SAW mengetahui bahawa kanak-kanak tidak mampu untuk menilai kehidupan dengan akal semata-mata, namun mereka belajar sesuatu perkara daripada apa yang mereka lihat.

Ibu bapa hendaklah bergaul dan mengasah minda anak mereka dengan perkara bermanfaat sebagai persediaan menempuh kehidupan lebih mencabar.

Berdoa kepada Allah SWT kerana ia adalah wahana yang amat berkesan dalam pembentukan peribadi anak-anak. Apatah lagi, Allah SWT adalah pemilik segala-galanya. Tambahan pula, jika dirujuk semula perjalanan hidup rasul-rasul terdahulu, mereka adalah manusia yang paling banyak berdoa kepada Allah SWT.

Mereka akan memohon agar Allah SWT melimpahi rahmat ke atas anak-anak mereka. Buktinya, Nabi Ibrahim AS berdoa agar baginda dan keturunannya dijauhkan daripada menyembah berhala serta mensyirikkan Allah SWT. Iaitu firman Allah, bermaksud ; “Dan (ingatkanlah) tatkala Nabi Ibrahim AS berdoa dengan berkata “Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku daripada perbuatan menyembah berhala”. (Surah Ibrahim (14) : 35)

Daripada contoh di atas jelas menunjukkan berdoa adalah cara yang amat berkesan dalam mendidik anak-anak untuk menjadi generasi berilmu, beriman dan bertakwa, ibu bapa perlu bijak dalam dalam mencorak generasi pelapis ini.

Jika mereka komited dengan tanggungjawab, sudah tentu generasi awalan yang ada sekarang berupaya menjadi umat contoh yang berjaya membina peradaban tersendiri suatu hari nanti.

Patriotisme mukmin: Tanggungjawab umat pertahan kedaulatan negara

Sejak awal pembinaan tamadun lagi sejarah menukilkan bahawa bangsa asing akan meninjau sesebuah penempatan sebelum mula menapak untuk membina empayar keluarga, ekonomi, politik malah hubungan antarabangsa sehingga akhirnya mereka menuntut atau mendapat hak yang sama dengan warga asal sesuatu penempatan diteroka. Penjajahan itu bukan saja dalam bentuk fizikal atau paksaan yang lembut tetapi juga penguasaan minda dan jiwa sehingga sesuatu bangsa boleh hilang jati diri dan akidah yang utuh disebabkan pengaruh penjajah dominan. Justeru, mempertahankan negara daripada gangguan dan pencerobohan luar yang menyelinap masuk melalui pelbagai cara adalah satu kewajipan setiap warga negara. Pelbagai cara boleh digunakan untuk menangkis strategi penjajah dan ia boleh dilakukan setiap individu mengikut kemampuan masing-masing.

Tugas mempertahankan negara dengan apa juga cara besar ganjarannya di sisi Allah SWT, apatah lagi yang sanggup mengorbankan nyawa kerana tanah air tercinta.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis diriwayatkan Imam Abi Daud dari Muaz yang bermaksud:

            Barang siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sekejap, iaitu sekadar tempoh           orang memerah susu unta, maka wajib baginya syurga. Dan barang siapa yang memohon     kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh untuk berjihad kemudian ia meninggal        dunia atau dibunuh, maka sesungguhnya baginya adalah balasan syahid. Dan barang     siapa terluka atau ditimpa kemalangan di jalan Allah, maka ia datang pada hari kiamat             sederas darah yang mengalir ketika ia luka, warnanya seperti zafaran dan baunya   bagaikan wangian kasturi.

Untuk mempertahankan negara, kita bukan saja dibentuk oleh agama supaya mempunyai semangat juang tinggi tetapi juga kekentalan rohani. Keampuhan jiwa inilah menjadikan seseorang itu pejuang sebenar di jalan Allah SWT, mereka mampu bertahan dan tidak mudah mengaku kalah. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan musuh maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapi dan sebutlah serta ingatlah Allah SWT dengan banyakkan berdoa, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan. (Surah Al-Anfaal, ayat 45)

Islam tidak mengajar umatnya menceroboh atau memerangi sesiapa saja yang menolak agama Allah SWT, tetapi umat Islam dituntut mempertahankan negara kerana agama.

Allah SWT meminta kita berlaku adil kepada setiap warga negara meskipun berlainan agama dengan mengamalkan cara hidup yang damai dan makmur selagi mana umat Islam tidak dimusuhi kerana agama mereka dan selagi mereka tidak diusir dari tanah air mereka.

Tetapi Allah melarang orang Islam berbaik dengan orang yang memusuhi mereka kerana mereka beragama Islam apatah lagi yang menolak hukum Allah SWT ke atas umat Islam sendiri.

Bukan mudah mempertahankan negara, apatah lagi isinya, bahkan ia menuntut komitmen semua pihak dari setiap lapisan masyarakat. Jika angkatan bersenjata menggunakan semua kelengkapan pertahanan untuk menghalang ancaman dan pencerobohan musuh, yang lainnya tentulah dengan kepintaran akal fikiran, keutuhan akidah yang sekaligus menyatukan setiap jiwa.

Penutup

Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sentiasa ada segolongan umatku yang selalu memperjuangkan yang hak. Mereka selalu menang sampai hari kiamat.

Islam bukan sekadar suatu perkataan yang disebut oleh lidah sahaja, bukan pula bererti kelahiran seseorang di dalam sebuah negara tertentu yang disebut sebagai negara Islam dan mempunyai lambang keislaman, juga tidak bererti kelahiran seorang yang ibu bapanya muslim dan negaranya negara Islam.

Apakah sumbangan kita untuk negara? Sebenarnya bangsa atau umat yang menjadi pilihan Allah yang akan sentiasa diberikan kemenangan ialah bangsa muslim yang hidupnya terus memperjuangkan agama Allah sekalipun mereka berlainan bangsa dan warna kulit. Inilah konsep yang unggul mengenai negara dan rupa bangsa yang sentiasa beroleh kemenangan dan kekal merdeka.

Keteratasan cinta yang sempurna ialah kepada Allah dan. Rasul-Nya. Ia memberikan konsekuensi adanya sesuatu yang dicintainya. Apabila cinta dan benci makhluk hanya kerana Allah, yang keduanya adalah amal ibadah hati, dan pemberian dan tidak memberinya hanya karena Allah, yang keduanya adalah amal ibadah badan, nescaya itu menunjukkan kesempurnaan iman dan kesempurnaan cinta kepada Allah.

Dari Abu Umamah r.a, dari Rasulullah saw bersabda, “Barang siapa cinta kerana Allah, memberi kerana Allah, dan melarang kerana Allah SWT, nescaya dia telah menyempurnakan iman.” HR: Abu Daud[24].

 

Bibliografi

 

Al Qur’an dan terjemahannya, 2007, Pustaka Darul Iman.

Afzalur Rahman,2005, Indeks Al Qur’an. Kuala Lumpur A.S Noordeen

Abd. Sukor Yusof. 2003. Pemupukan Semangat Patriotisme di Kalangan Pelajar Sekolah menengah dalam Pengajaran dan Pembelajaran: Satu kajian Kes Tingkatan Dua. MA Thesis: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

 

Albers, H. H. 1974. Principles of management : A modern approach . New York : Wiley.

 

Amdun Husain. 1987. Kamus Pelajar Bahasa Malaysia. Selangor : Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Antonina Kloskowska. 1988. Analysis of Sociological Literature on Youth. USA: United Nation University Press.

 

Billig, Michael. 1995. Banal Nationalism. London:Sage Publishers.

 

Dr. Rushdi Ramli. 2006.Pengukuhan jati diri bangsa Melayu Islam:Garis-garis besar menurut mazhab ahli sunnah wal al-jamaah. Skudai: Prosiding Seminar Kebangsaan Pengajian Umum.

 

Ezad Azraai Jamsari et all, 2004, Pengajian Islam Teks Pengajian Tinggi Fajar Bakti,Perak Penerbitan Fajar Bakti

 

Kuczynski, Januscc. 1988. Perspectives on contemporary youth. USA : The United Nations University.

 

Mohd Anwar Patho Rohman. 2006. Pupuk Semangat Patriotisme. Kuala Lumpur : Berita Harian.

 

Morris. C. G. 1976. Psychology : An introduction. Englewood Cliff. NJ : Prentice Hall.

 

Muhammad bin Abdullah At Tuwaijry, Makna Islam dan iman, http://www.islamhouse.com, 1 Sept.2011.

 

Noresah bt Baharom et.al.(eds).2002. Kamus Dewan. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Patriotisme in Your Portfolio. http://papers.ssrn. Com/sol3/papers.cfm?abstract_id=406200.

 

Paul Gomberg. 2002. Patriotism is like racism. In Igor Primortaz, ed., Patriotism. Humanity Books.

 

Ramlah Adam. 2003.Pejuang-pejuang Kemerdekaan. Kuala Lumpur : Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia.

 

Walter. G. C. 1974. Consumer behavior: The theory and practice. New York : Richard D. Irwin.

 


[1] Mohd Anwar Patho Rohman,  Pupuk Semangat Patriotisme, Berita Harian, Kuala Lumpur, 2006, hlmn.5.

 

[2] Ibid., hlm 5.

[3] Kamus Dewan edisi keempat,Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007, hlmn.1150.

[4] Paul Gomberg, Patriotism is like racism. In Igor Primortaz, ed., Patriotism. Humanity Books, 2002, hlmn.105.

[5] Ibid., hlmn.112.

[6] Billig, Michael,  Banal Nationalism. London, Sage Publishers, 1995, hlmn. 56-58.

 

[7] Ramlah Adam, Pejuang-pejuang Kemerdekaan. Kuala Lumpur, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, 2003, hlmn. 80.

 

[8] Amdun Husain,  Kamus Pelajar Bahasa Malaysia, Selangor , Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987. Hlmn.157.

[9] Ibid., hlmn. 157.

[10] Dr. Rushdi Ramli, Pengukuhan jati diri bangsa Melayu Islam:Garis-garis besar menurut mazhab ahli sunnah wal al-jamaah, Skudai, Prosiding Seminar Kebangsaan Pengajian Umum, 2006, hlmn.53.

[11] Muhammad bin Abdullah At Tuwaijry, Makna Islam dan iman, http://www.islamhouse.com, 1 Sept.2011.

[12] Akidah muslim,1990

[13] ibid

[14]  HR. al-Bukhari 15 dan ini adalah lafaznya, dan Muslim no. 44

[15]  HR. Muslim no 54

[16]  HR. al-Bukhari no. 14 dan Muslim no. 45, ini adalah lafazhnya.

[17]  HR. al-Bukhari no (6018) dan Muslim no. 48 dan ini adalah lafazhnya.

[18]  HR. Muslim (49).

[19]  HR. Muslim 55.

[20]  HR. al-Bukhari no. 26 dan ini adalah lafazhnya, dan Muslim no 83.

[21] Pemerintahan dan pentadbiran menurut Islam, hlmn 237

[22] Ibid, 236

[23] Ibid 86-87

[24]  Hasan/ HR. Abu Daud no. 4681, Shahih Sunan Abu Daud no. 3915. Lihat, as-Silsilah ash-Shahihah no 380

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s