1st International Conference and Exposition on Research in Islamic Arabic Language Education (ICEREALE2011), 26-28 September 2011, Langkawi, Kedah, Malaysia.

Pengajian Tahfiz di kalangan kanak-kanak dan Remaja di Masjid Negara: Satu Sorotan Kajian.

Zainora Binti Daud

Jabatan Tahfiz wa al-Qiraat, Akademi Islam, KUIS.

Rosfazila Binti Abd Rahman

Jabatan Peradaban & Pemikiran Islam, Akademi Islam, KUIS.

Abstrak

Tahfiz formal studies in Malaysia have existed as early as the 1960s. This situation has developed due to the awareness and needs of the community to appreciate the importance of the spirit of the Quran. Tahfiz studies in children focused on hafazan by Tartil and Talaqqi. Spiritual activities such as Tadarus Quran, tazkirah, motivational programs and qiamullail also held to strengthen the form and as the souls. This survey focuses on the history of the establishment and implementation of Tahfiz studies among children and adolescents at the National Mosque. Identification of these aspects will be able to strengthen the continuity of study and melebarluaskan Tahfiz tahfiz study the effects of childhood in shaping the future sustainability of Islamic society.

 

Pengajian formal Tahfiz di Malaysia telah wujud seawal  1960-an. Situasi ini berkembang berikutan kesedaran dan keperluan masyarakat terhadap kepentingan menjiwai  roh al-Quran. Pengajian Tahfiz dalam kalangan kanak-kanak memberi fokus kepada hafazan al-Quran secara tartil dan talaqqi. Aktiviti-aktiviti kerohanian seperti tadarus al-Quran, tazkirah, program motivasi dan qiamullail turut diadakan bagi memantapkan pengisian dan sebagai proses tarbiyah. Kajian tinjauan ini memfokuskan kepada sejarah penubuhan dan perlaksanaan pengajian Tahfiz di kalangan kanak-kanak dan remaja di Masjid Negara. Pengenalpastian aspek-aspek ini akan dapat memantapkan lagi kesinambungan pengajian Tahfiz dan melebarluaskan kesan pengajian tahfiz dalam kalangan kanak-kanak dalam membentuk masa depan masyarakat Islami yang mapan.

Pendahuluan

Pepatah Melayu ada menyebut, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini membawa pengertian tentang peripenting pendidikan diserapkan kepada generasi muda seawal mungkin. Perkataan kanak-kanak dalam bahasa arab disebut sebagai al-tifl (١لطفل) yang berasal dari perkataan tafula (طفل) yang membawa maksud sesuatu yang lembut, mudah rosak dan sensitif. Di sebalik maksud tersebut ia memberi pengertian bahawa seseorang kanak-kanak itu perlu dijaga, diasuh dan dididik dengan rapi, teliti dan sempurna memandangkan sifat semulajadinya yang mudah terdedah kepada bahaya persekitaran bukan sahaja dibimbangi kerosakan yang akan menimpa fizikal dan tubuh badan malah aspek-aspek yang lain juga amat perlu diberikan perhatian. Oleh itu pendidikan syariat yang sempurna kepada anak-anak seawal mungkin bermula dari dalam kandungan ibu lagi agar anak-anak dapat hidup bahagia, berjaya dan membesar dalam keadaan sempurna tanpa terpengaruh dengan gejala-gejala negatif yang boleh merosakkan hidup mereka. Dalam erti kata lain, generasi yang diharapkan seharusnya dibentuk dengan nilai-nilai murni yang mampu membentuk jiwa, personaliti dan akhlaq terpuji untuk kesinambungan hidup yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Permasalahan kajian

Mungkin selama ini ramai yang beranggapan teori-teori dan ilmu-ilmu berkaitan perkembangan kanak-kanak, pendidikan keibubapaan dan pendekatan moden mendidik anak khasnya di peringkat awal usia dipelopori oleh barat dan tidak releven dengan Islam. Hakikatnya ia adalah relevan hatta amalan Rasulullah Saw serta para sahabat dan cendikiawan Islam amat menjurus ke arah membentuk dan mendidik generasi. Justeru Pendidikan anak-anak di peringkat awal usia yang berlandaskan pendekatan integratif seperti pengajian Tahfiz perlu dilaksanakan.

 

Objektif kajian

1-      Mengenalpasti konsep personaliti, personaliti ibadah dan personaliti kanak-kanak Muslim.

2-      Menghuraikan Pengajian Tahfiz dalam kalangan kanak-kanak.

3-      Mengenalpasti sejarah penubuhan dan perlaksanaan pengajian Tahfiz di kalangan kanak-kanak dan remaja di Masjid Negara.

4-      Mengenalpasti kesan pengajian Tahfiz terhadap personaliti Ibadah.

 

Skop dan limitasi

Kajian memberi fokus kepada mengenalpasti konsep-konsep kajian yang terlibat sahaja mencakupi konsep personaliti, personaliti ibadah dan personaliti kanak-kanak Muslim. Kajian ini juga hanya menghuraikan pengajian Tahfiz dalam konteks kelas Tahfiz kanak-kanak & remaja di Masjid Negara, Malaysia serta hubungkaitnya dalam membentuk personaliti ibadah kanak-kanak terlibat.

Metodologi kajian

Kajian ini adalah bersifat kuantitatif dan kualitatif. Ia melibatkan penggunaan instrumen soal selidik. Ia juga melibatkan kajian kepustakaan dan pemerhatian mendalam dan temubual terhadap sejarah penubuhan dan perlaksanaan pengajian Tahfiz di kalangan kanak-kanak dan remaja di Masjid Negara. Kajian ini melibatkan responden yang terdiri daripada 20 orang pelajar tahfiz. Manakala untuk instrumen temubual, kajian ini melibatkan 1 orang ketua guru dan 2 orang guru tahfiz.

Soal selidik dan Pemerhatian mendalam

 

Soal selidik dan pemerhatian tertumpu kepada personaliti ibadah yang yang diamalkan oleh pelajar-pelajar tahfiz di Masjid Negara. Melalui kaedah ini, penulis sendiri meneliti dan memerhati proses perjalan pengajian tahfiz yang dilaksanakan serta kesannya terhadap personaliti ibadah.

Populasi / sampel kajian

Kajian dijalankan terhadap kanak-kanak di kelas pengajian Tahfiz kanak-kanak & Remaja Masjid Negara, Kuala Lumpur, Malaysia melibatkan 153 orang pelajar. Pengajian Tahfiz dalam kalangan kanak-kanak ini memberi fokus kepada aktiviti hafazan al-Quran secara talaqqi dan musyafahah. Aktiviti-aktiviti kerohanian seperti tadarus al-Quran di bulan Ramadhan, tazkirah, program motivasi dan qiamullail turut diadakan bagi memantapkan pengisian dan sebagai proses tarbiyah. Kajian tinjauan ini mengenalpasti kesan pengajian tahfiz dalam kalangan kanak-kanak dalam membentuk personaliti ibadah. Tinjauan ini memfokuskan kepada tiga aspek iaitu rukun Islam, iman, amal dan aqidah.

Personaliti

Perkataan personaliti berasal daripada perkataan Latin persona yang bermaksud topeng. Pengkajian tentang personaliti boleh difahami sebagai topeng yang digunapakai oleh indidvidu dalam menjalani kehidupan harian. Individu mempamer dan memberi reaksi kepada persekitaran berdasarkan pengalaman psikologi yang dikenali sebagai kendiri[1].

Carl Gustav Jung seorang pakar kajian personaliti berpendapat Personaliti adalah laras sedar utama dalaman sesuatu benda hidup. Ia adalah tindakan laras sedar menghadapi kehidupan harian, ia merupakan lonjakan dalaman yang diadaptasi demi menunjukkan kewujudan dan kelangsungan kebebasan dan penentuan kendiri[2]..

Sukar mendefinisikan personaliti. Secara asas, personaliti merujuk kepada cubaan untuk mendapat atau menyimpulkan jatidiri individu. Personaliti diguna untuk menghurai dan memahami individu. Jelasnya, personaliti ialah diantara teras dalam kajian psikologi. Ia memperjalaskan tentang cakupan kajian berkaitan perbezaan antara individu dengan individu lain. Tiada individu yang serupa secara total, walaupun dalam kalangan kembar seiras. Ada individu yang peka, sanggup mengambil risiko, berkeyakinan, pemalu, ada yang pendiam dan ada pula yang bersemanat. Isu ini dijadikan fokus dalam kajian personaliti di mana dikenalpasti perbezaan personaliti, sebab berlaku perbezaan dan puncanya serta kaitan antara fitrah  dan persekitaran[3].

Perspektif dalam kajian personaliti melibatkan perkara-perkara seperti

  • Ciri-ciri individu
  • Perspektif biologi
  • Perspektif psikoanalitik
  • Perspektif pembelajaran
  • Perspektif fenomenalogikal
  • Perspektif kognitif

Realitinya, personaliti adalah aku! Ini adalah kerana apabila seseorang membahasakan dirinya sebagai aku, dia akan menceritakan tentang dirinya melibatkan kesukaan, ketakutan, bayangan, kekuatan dan kelemahan. Ia mendefinisikan individu tersebut sebagai individu yang unik serta berbeza daripada individu lain[4].

Perbezaan Psikologi Islam dan Psikologi Barat

Ilyas Ba-Yunus dan Farid Ahmad (1985) mengatakan bahawa Ibn Khaldun adalah orang yang memperkenalkan sains sosial (cIlm al-cumran), iaitu sekitar tahun 1377. Antara cabang sains sosial adalah psikologi dan sarjana-sarjana Islam adalah antara orang yang paling awal membuat kajian dalam bidang ini. Antara sarjana-sarjana Islam yang dimaksudkan ialah Ibn Sina, Al-Ghazali dan Al-Farabi. Ibn Sina dalam bukunya, Al-Shifa’, ada membincangkan akal, kewujudannya, hubungan akal dan tubuh, perasaan dan persepsi (Husain t.th.)[5].

Menurut Ibn Sina, jiwa manusia mempunyai kemampuan secara teori dan praktikal yang membentuk kecerdikan atau kecerdasan minda. Menurutnya lagi, jiwa itu sendiri boleh mencapai idea yang tidak disedari oleh seseorang melalui perasaan, imaginasi dan anggaran. Beliau menganggap kebolehan tersebut sebagai faktor utama kepada tingkah laku (Husain t.th.).

Menurut Abdul Hameed Al Haslimi (1984) dari Universiti King Abdul Aziz, Al-Ghazali adalah pengasas istilah kepada kajian akal atau kelakuan manusia lima abad sebelum Rodold J. Clenues menggunakan istilah yang sama (psikologi). Al-Ghazali juga mengkaji hampir kesemua aspek dalam psikologi (Husain t.th.).

Al-Ghazali menyatakan bahawa jiwa adalah suatu entiti spiritual yang mengawal fungsi fizikal dan organik manusia serta menguasai deria untuk menjalankan keperluan-keperluan badan (Husain t.th.). Walau bagaimanapun, ilmu-ilmu yang diperkenalkan oleh sarjana-sarjana Islam ini telah dikembangkan oleh cendekiawan Barat tanpa memberikan kredit kepada pengasas ilmu tersebut[6].

Habibah dan Noran (1997) menyatakan bahawa dari perspektif Islam, personaliti dimaksudkan sebagai sahsiah atau secara umumnya akhlak. Menurutnya lagi, faktor-faktor lain yang dianggap penting dalam perkembangan personaliti manusia ialah hubungan manusia dengan Allah s.w.t., interaksi roh dan jasmani serta peranan akal.

Personaliti boleh dibahagikan kepada dua iaitu akhlak terpuji dan akhlak tercela. Manusia yang berakhlak atau mempunyai personaliti positif menurut perspektif Islam adalah manusia yang melakukan kebaikan dan menyerah diri secara total kepada Allah (Mohd Nasir 1992). Sarjana-sarjana Islam melihat bahawa perspektif baru dalam psikologi di bawah pengaruh Al-Quran dan hadith boleh mengisi lompang kekosongan dan mempengaruhi perubahan sosial untuk kebaikan manusia dan masyarakat (Husain t.th.). [7]

Islam berpendapat, pengajian berkenaan jiwa manusia merupakan aktiviti saintifik yang berguna dan patut digalakkan sepertimana ilmu pengetahuan yang lain (Abdul Hamid 1989). Menurut Abdul Hamid (1989), penyelidikan mengenai diri manusia ternyata merupakan jalan paling singkat dan paling pasti kepada mempercayai Tuhan. Ini berpandukan maksud ayat-ayat dari Al-Quran berikut:

            “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami          di segenap             penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi           mereka bahawa Al-Quran             itu adalah benar” (Al-Quran: Al-Fussilat: 53)

            “Dan di bumi ini terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin,    dan (juga) pada dirimu sendiri” (Al-Quran: Al-Dhariyat: 20-21).

Sesetengah ahli psikologi berpendapat bahawa psikologi telah menjadi sains yang kekurangan subjek utamanya, iaitu jiwa (Fromm, 1950). Hassan Langgulung (1986) menyatakan bahawa kesemua mazhab psikologi dari Barat tidak mengkaji jiwa tetapi sebaliknya berat kepada kajian tingkah laku. Menurutnya lagi, dari mana asal dan bagaimana bentuk jiwa tidak dikaji oleh ahli psikologi barat. Menurut Mahyudin Yahaya (1986)[8]:

            “Berbeza daripada pemikiran dan falsafah sejarah moden yang berbentuk sama ada         empiris, material atau spiritual semata-mata, pemikiran dan falsafah sejarah Islam             adalah hasil gabungan daripada ketiga-tiga    aspek tersebut dalam bentuk bersepadu,         dan dengan mengambil kira   unsur-unsur teologi dan metafizik” (hlm. 64).

Namun, jika ilmu psikologi Barat diketepikan keseluruhannya, mungkin juga sebahagian daripada warisan Islam itu sendiri akan hilang (Malik Badri 1980) kerana kebanyakan ilmu tentang kejiwaan diceduk dari hasil pemikiran sarjana-sarjana Islam seperti Ibn Sina dan Imam Al-Ghazali. Justeru, kredit di atas kelangsungan ilmu sarjana Islam perlu juga dipertimbangkan kepada sarjana Psikologi barat.

Manusia dan Personaliti

Sesungguhnya personaliti manusia adalah ciptaan Tuhan yang maha kompleks. Ia adalah salah satu rahsia dan keistimewaan yang dianugerahkannya kepada manusia bertujuan untuk membuatkan kita berfikir. Hanya manusia yang mahu memahami dirinya akan memahami hikmah dan hakikat kehidupan di alam maya ini. Suatu perkara yang mudah tetapi ramai yang tidak melakukannya.

Ayat-ayat di dalam Quran menegaskan bahawa sesuatu yang menimpa manusia adalah berpunca daripada diri sendiri, dengan izin Allah. Jika kita mahu berjaya, ia bergantung kepada diri sendiri. Jika kita gagal juga, ia bergantung kepada diri sendiri. Pendek kata, manusialah yang membuat pilihan di dalam hidupnya. Pilihan itu dipulangkan semula kepada kita sebagai makhluk yang boleh berfikir[9].

Justeru, manusia perlu mengenali ‘diri’ sendiri. Manusia perlu berusaha mengubah ‘diri’ sendiri. Akhirnya, manusia akan mengakui yang ia berupaya memilih untuk berjaya. Semuanya bergantung kepada diri sendiri.

Psikologi Spiritual

Ilmu bagi mengenali diri terkandung dalam bidang psikologi. Namun, ilmu psikologi sahaja belum memadai bagi mengorek rahsia penciptaan manusia jika tidak disuluh dengan ilmu wahyu yang berasal dari Quran. Ilmu wahyu dapat menerobos sempadan spiritual, bukan sekadar di peringkat fizikal ataupun biologi sebagaimana disiplin ilmu psikologi fundamental.

Personaliti spiritual memperkenalkan semula diri manusia daripada sudut spiritual, dengan menekankan kepada beberapa konsep asas manusia seperti jiwa, nafsu dan fitrah. Pendekatannya juga menjelaskan hubung kait antara manusia dan hubungan manusia dengan penciptanya. Oleh kerana personaliti manusia bukan sahaja bergantung kepada persepsi diri tetapi juga bergantung kepada persepsi orang lain, maka bagi mencapai personaliti yang unggul, Quran menurunkan panduan bermasyarakat. sebagai pelengkap kepada pelan merekayasa diri. Walau apa pun nama pendekatan yang diberikan, yang utamanya adalah untuk kembali kepada asas, siapa diri kita di sisi Pencipta?

4 ciri keunggulan manusia

Berbanding dengan makhluk lain, manusia dikurniakan kelebihan untuk menjadi khalifah atau pentadbir di atas muka bumi ini. Ciri-ciri tertentu yang ada pada manusia menjadikan ia makhluk yang serba hebat. Namun kehebatan tersebut kadangkala tenggelam di sebalik kejahilan manusia terhadap sifat semulajadinya. Mengetahui ciri-ciri ini adalah titik permulaan yang boleh membangkitkan kehebatan seseorang dan menyerlahkan fitrah manusia selaku insan yang unggul[10].

Ciri pertama adalah keunikan manusia. Setiap manusia adalah berbeza baik dari segi fizikal ataupun non-fizikal. Hatta, kembar seiras sekalipun terdapat perbezaan walaupun tidak ketara pada pandangan mata kasar. Keunikan ini bermakna masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Jika manusia sedar dan mengambil kira hakikat ini dalam bersosialisasi, maka seseorang pasti menemui kehebatan diri di tempat yang khusus bagi dirinya. Misalnya, seorang yang suka menyendiri tetapi banyak berfikir dan memerhati adalah lebih adil menjadi seorang ‘think-tank’ berbanding seorang ahli politik.

Ciri kedua manusia adalah ia dikurniakan oleh Tuhan akal untuk berfikir. Akal dapat menafsir maklumat berdasarkan panduan iman untuk menentukan baik buruk sesuatu perkara. Berbekalkan ilmu pengetahuan dan pengalaman, seseorang mampu membuat analisis dan menghasilkan keputusan yang bijaksana. Permasalahannya ialah kita tidak dilatih untuk berfikir atau kita tidak disemai budaya cintakan ilmu pengetahuan. Apabila akal kering dengan ilmu, otak manusia yang mampu memproses maklumat lebih pantas dan banyak daripada komputer menjadi beku dan jumud.

Seterusnya adalah ciri manusia yang mampu memilih untuk menentukan tindakan dan tingkah lakunya. Manusia bukan makhluk yang hanya tahu bertindak balas terhadap persekitarannya. Ia mampu berfikir dan mempunyai gerak hati. Manusia sentiasa mempunyai pilihan. Sama ada pilihan itu bersifat ‘win-win situation’ atau ‘win-lose situation’, manusia tetap diberi pilihan. Maka, impak sesuatu perbuatan bergantung kepada diri sendiri. Namun, kadangkala oleh kerana batas-batas kita sebagai makhluk, impak tersebut mungkin di luar jangkaan akal.

Ciri terakhir manusia adalah keupayaan untuk mengadaptasi terhadap persekitarannya. Manusia diketahui sebagai seorang ‘survivor’. Selama beribu-ribu tahun, ia berjaya menyesuaikan dirinya dengan pelbagai perubahan agar terus kekal. Pengadaptasian tersebut bukan sahaja dari sudut survival diri, malah penyesuaian terhadap pelbagai ragam dan budaya masyarakat. Misalnya, orang Melayu dari Malaysia yang menetap di Australia telah terbukti boleh menyesuaikan diri bukan sahaja dari segi cuaca, malah cara hidup dan pergaulan[11].

Personaliti unggul

Personaliti Unggul membongkar rahsia kecemerlangan individu yang digelar personaliti unggul dalam sejarah. Di sinilah terbongkarnya rahsia permulaan kajian psikologi personaliti, maklumat personaliti daripada perspektif Islam, konsep perubahan secara holistik dan rahsia personaliti terhebat sepanjang zaman. Personaliti unggul pastinya merujuk kepada keperibadian Rasulullah Saw. Rasulullah Saw bersabda;

“Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya.”

Personaliti ibadah (rukun Islam, iman, amal dan aqidah)

Firman Allah:

            “Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku.”

(Az Zaariat:56)

Sifat-sifat Mukmin sejati ialah orang yang beriman, bertaqwa dan berakhlak mulia. Bagi seorang mukmin, setiap yang dilakukan dalam kehidupan adalah mengikut syariat dan peraturan Allah, menjalani kehidupan dalam suasana ibadah dan mendapat keredhaan Allah SWT[12].

Personaliti mukmin

Dalam memperkatakan tentang personaliti, jarang sekali dikaji dan diteliti sifat-sifat terpuji atau mahmudah yang sepatutnya ada pada seorang Mukmin. Asasnya Islam menjelaskan tentang tiga sifat terpuji yang dituntut oleh iaitu ikhlas, redha dan sabar[13].

Ikhlas adalah satu sifat yang sukar ditentukan kehadirannya. Ia adalah rahsia Allah swt dan diberikan kepada insan yang tertentu. Tips untuk menentukan sama ada seseoramg itu ikhlas adalah apabila dipuji, ia tidak berasa riak.

Saidina Ali pernah berkata,

“Mereka yang suka menunjuk-nunjuk (riak’) mempunyai tiga tanda: Apabila          bersendirian             malas beribadah, sebaliknya apabila bersama-sama orang ramai        dia menjadi rajin.        Apabila dicaci, amal ibadahnya dikurangkan. Sebaliknya       apabila dipuji, dia        menambahkan amalannya.”

Redha pula adalah satu keistimewaan yang hanya ada pada orang Mukmin. Apabila ditimpa musibah ia berlapang dada, dan apabila dianugerahkan berita baik, ia bersyukur. Ia menerima kesemua ketentuan Allah swt dengan tenang. Firman Allah swt,

“Alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan RasulNya           berikan             kepada mereka sambil mereka berkata, “Cukuplah Allah bagi           kami, Ia dan    RasulNya             akan berikan kepada kami kurnianya,             Sesungguhnya pada Allah      kamu menuju.”

Sifat sabar sedikit berbeza dari redha. Seorang yang memiliki sifat sabar berupaya menahan diri apabila ditimpa ujian. Sifat sabar perlu dalam menghadapi 3 perkara: Pertama, berkeluh kesah apabila berlaku bencana. Kedua, dalam mengerjakan segala diperintah Allah. Ketiga, dalam meninggalkan segala larangan Allah.

Allah banyak menyebut sifat-sifat orang Mukmin di dalam Al-Quran, di antaranya, firman Allah:

“Beruntunglah orang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang yang khuyuk dalam    sembahyang. Dan menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang    tidak    berguna. Dan orang-orang yang menunaikan zakat. Dan orang-orang yang      menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau budak yang     mereka             miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak tercela.             Barangsiapa mencari   yang disebalik itu maka merekalah yang melampaui batas.    Dan orang-orang yang    memelihara amanah-amanah dan janji-janjinya. Dan orang-orang yang memelihara             sembahyang.”(Al Mukminun:1-9)

Kajian personaliti kanak-kanak Muslim

Dalam sejarah Islam, begitu ramai ilmuan dan cendiakawan yang memberi sumbangan kepada ilmu pengasuhan perkembangan, dan pendidikan kanak-kanak. Ibnu Miskawaih misalnya begitu menekankan pentingnya pendidikan akhlaq dan pembentukan sahsiah yang mulia manakala Imam Al-Ghazali yang banyak menyumbang kepada perkembangan sosio-emosi kanak-kanak, begitu menekankan aspek belajar melalui bermain sebagai asas pengasuhan.

Ibnu Sina juga tidak terkecuali menyumbang dalam bidang ini apabila beliau membincangkan kepentingan hygiene dan penjagaan kesihatan kerana dua faktor ini adalah asas kepada pembentukan fizikal yang sihat. Kemampuan kanak-kanak mendapatkan pengalaman adalah berbeza dari satu individu dengan individu yang lain telah diketengahkan oleh seorang lagi ilmuan hebat islam iaitu Ibn Khaldun. Manakala Ibn Jamaah pula mengupas tanggungjawab pendidik dari segi memahami tingkahlaku kanak-kanak dan menanganinya melalui  kaedah pengukuhan[14].

Falsafah pendiddikan awal kanak-kanak yang berteraskan kepada pendekatan integratif tersebut jika diteliti secara mendalam adalah didasarkan kepada konsep-konsep berikut yang disepadukan antara dua pandangan:

1. Pembinaan akhlaq dan pembentukan sahsiah.
2. Bermain adalah tugas utama kanak-kanak.
3. Kanak-kanak adalah individu yang unik dan berbeza antara satu sama lain.
4. Rangsangan neurologi dan deria melalui penglibatan yang aktif dalam setiap aktiviti.
5. Memberi kebebasan dan ruang kepada kanak-kanak bagi mengenal pasti apa yang mereka mahu dan mampu lakukan.
6. Memenuhi keseimbangan keperluan rohani, fisiologi, psikologi dan pembesaran fizikal kanak-kanak.
7. Persekitaran yang kondusif, ceria dan selamat.
8. Keperihatinan terhadap persekitaran dan penyediaan pemakanan yang sihat dan bersih.
9. Menghormati kepelbagaian dan hak-hak yang sama rata[15].

Hakikatnya samada di barat atau di timur, semua manusia mengharapkan anak mereka ke arah pembinaan syakhsiah mulia dan berkeperibadian tinggi serta berhemah dalam menghadapi arus globalisasi yang semakin mencabar. Semua ibu bapa pastinya ingin melahirkan generasi yang berfikiran mantap , kritis dan kreatif dalam setiap aspek kehidupan.

Sejarah Pendidikan Tahfiz di Malaysia

Senario pengajian tahfiz ini juga boleh dilihat  jelas di Malaysia dengan penubuhan Ma’had tahfiz al-Quran wal-Qiraat JAKIM pada tahun 1966 dan seterusnya diikuti dengan pertumbuhan yang pesat institusi-institusi pengajian tahfiz negeri-negeri lain di Malayia seperti di Kelantan pada tahun 1979, pada tahun 1980an di Terengganu, Perak, Kedah, Perlis dan Selangor. Seterusnya pada awal tahun 1990an di Negeri Sembilan, Melaka , Pahang serta Sabah dan yang terakhir pada tahun 1996 di Johor dan Pulau Pinang. (Syed Alwi Tarmizi et.al 2005:53)

Di samping itu, Ma’ahad-ma’ahad Tahfiz swasta juga turut bercambah dan berkembang pesat sehingga meningkat dalam bilangan yang banyak. Seperti di Selangor sahaja terdapat lebih daripada 40 buah cawangan yang berdaftar di bawah Jabatana Agama Islam Selangor (JAIS). (www .islam.gov.my/ informasi/islam/pelbagai/ma’ahad.html).

Menurut Wan Mohamad (1997:17) pendidikan tahfiz cara moden bermaksud pendidikan yang mempunyai struktur yang tersusun, meliputi sudut pengurusan , kurikulum dan kemudahan infrastrukturnya. Pendidikan cara moden ini dianjurkan oleh pihak kerajaan pusat dan negeri. Manakala pendidikan tahfiz cara tradisional pula bermaksud pula bermaksud pendidikan yang tidak tersusun denganbaik dari sudut pentadbiran, kurikulum dan kemudahan infrastukturnya adalah seperti system pendidikan pondok. Lazimnya pendidikan secara tradisional ini dikelolakan oleh orang perseorangan atau swasta.

Kajian 1

Hasil kajian menunjukkan faktor personaliti boleh menyebabkan gangguan emosi yang sering berlaku di kalangan kanakkanak dan remaja. Justeru personaliti yang mapan diperlukan dalam proses perkembangan mereka[16].

Kajian 2

Kajian Prof. Madya Dr. Mastura Badzis, Pengarah, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia (Naib Presiden HELWA) tentang Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal Umur Berasaskan Binaan Kurikulum yang Integratif mendapati pendekatan-pendekatan moden yang kita lihat pada hari ini sebenarnya dipelopori oleh para ilmuan Islam di zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.

Kajian 3

Kajian pembentukan generasi baru berasaskan nilai yang cemerlang dalam semua aspek perkembangan yang meliputi aspek jasmani, sosioemosi, rohani dan intelek. Nilai-nilai tersebut seperti berjaya dalam akademik dan sekali gus sihat dari segi fizikal, pandai mengawal perasaan atau emosi, boleh bergaul dan berinteraksi serta berkomunikasi dengan baik, taat kepada perintah Tuhan dan agama, dapat membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dengan bijak, boleh berdikari, mempunyai keyakinan diri dan konsep diri yang positif. Kajian membincangkan program yang boleh dilaksanakan guru dan ibu bapa bagi memberi didikan dan perhatian kepada semua aspek perkembangan secara menyeluruh dan seimbang. Mendidik dan memberi perhatian bermaksud memastikan bahawa pengetahuan dan kemahiran yang hendak diajar atau diterapkan kepada kanak-kanak sudah dikuasai dan dapat dilakukan serta diamalkan oleh kanak-kanak dengan betul dan berkesan.[17]

 

 

Kajian 4

Kajian mendapati pendedahan pendidikan Islam kepada seseorang individu muslim perlu dimulakan sejak mereka masih kecil lagi. Ketika di alam kanak-kanak mereka hendaklah diajar mengenal Allah dan lain-lain perkara asas dalam Islam. Penekanan terhadap pendidikan Islam wajar dilakukan ketika mereka mula belajar mengenal huruf. Berbagai permasalahan akan timbul sekiranya tiada pendedahan pendidikan Islam di peringkat ini. Alam persekolahan secara formal seseorang individu adalah bermula ketika mereka belajar di prasekolah. Sistem pembelajaran di peringkat prasekolah tidak wajar mengabaikan aspek tersebut dalam kurikulum pendidikan mereka. Justeru kajian ini mengenalpasti kedudukan pendidikan Islam dalam kurikulum pembelajaran prasekolah yang berjalan. kajian menjadikan kurikulum pendidikan beberapa prasekolah milik kerajaan dan swasta sebagai bahan kajian. Tumpuan adalah dengan melihat peratusan pengajaran pendidikan Islam dan matapelajaran yang diajar. Penulis menggariskan beberapa pandangan mengenai keperluan memasukkan pendidikan Islam sebagai sebahagian daripada pengajaran yang berjalan. Cadangan-cadangan turut dikemuka ke arah memantapkan lagi pembelajaran pendidikan Islam di peringkat prasekolah[18].

Kajian 5

Kajian awal di Sekolah Menengah Agama Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor tentang pendidikan Islam dalam pembelajaran prasekolah memberi kesan positif ke arah mencapai matlamat membentuk muslim yang berilmu. Ia juga memastikan anak-anak akan menjadi manusia  yang mempunyai personaliti yang Islami[19].

Kajian Pengajian Tahfiz Kanak-kanak dan Remaja di  Masjid Negara

Kelas Pengajian Tahfiz Kanak-kanak dan Remaja di Masjid Negara telah bermula pada tahun 1997 dengan pengambilan pelajar pertamanya seramai 10 orang dan dikendalikan oleh seorang guru tahfiz. Kini jumlah para pelajar semakin meningkat sehingga 153 orang para pelajar dengan dikendalikan oleh 10 orang tenaga pengajar. Kewujudan kelas pengajian ini sebenarnya telah membuka dan memberikan satu peluang kepada semua kanak-kanak yang berumur dari 9 tahun sehingga 17 tahun di sekitar Lembah Kelang untuk menceburi bidang menghafaz al-Quran. Kelas-kelas ini hanya diadakan setiap hari ahad bermula dari pukul 8.30 pagi sehingga 12.00 tengahari.Tempoh pengajian kelas hanya mengambil masa selama tiga tahun mengikut sukatan silibus hafazan semester dan peperiksaan hanya diadakan dua kali setahun. Para pelajar yang berminat untuk memasuki kelas-kelas hafazan ini dikehendaki mengambil satu temuduga khas sebagai satu syarat utama kemasukan.

Program ini dirancang bagi membolehkan kanak-kanak dan remaja mampu menghafaz al-Quran dengan baik dan sempurna, di samping memahami  secara mendalam tentang semua ilmu yang berkaitan dengan al-Quran dan tajwid.

Dengan perlaksanaan sistem Talaqqi dan Musyafahah yang diamalkan oleh para ulama terdahulu serta pembelajaran berbentuk kuliah dan  syarahan, para pelajar akan dapat menjadi seorang Hafiz al-Quran yang cemerlang.

Objektif utama kelas-kelas pengajian ini diadakan ialah:

1)      Membimbing para pelajar membaca dan menghafal al-Quran dengan kaedah-kaedah yang betul.

2)      Mendorong pelajar supaya menghafaz al-Qran dan meminati ilmu-ilmu al-Quran.

3)      Memberi kefahaman dan kemahiran tilawah dan hafazan al-Quran.

4)      Menyediakan asas penjanaan ke arah melahirkan cendikiawan yang berkemampuan dan mengembalikan tradisi zaman kegemilangan keilmuan Islam.

Kandungan Kurikulum Hafazan dibahagikan kepada tiga peringkat mengikut tahun pengajian, peringkat pertama para pelajar dikehendaki menghafaz satu juzu’ Juzu’ 30 pda tahun satu dan pada tahun dua para pelajar dikehendaki menghafaz surah al-Mursalat, surah al-Insan, surah al-Qiyamah, surah al-Muddathir, surah al-Muzzammil, surah al-Jin, surah Nuh dan surah al-Ma’arij di dalam juzu’ 29. Manakala pada tahun ketiga para pelajar mesti menghafaz surah al-Haqqah,surah al-Qalam dan surah al-Mulk di dalam juzu’ 29, manakal tiga surah pilihan lagi iaitu surah Yaasin, al-Sajadah dan al-Waqi’ah. Selepas para pelajar berjaya menamatkan tahun ketiga pengajian, para pelajar diberi peluang samada ingin meneruskan pengajian di Kelas Tahsin yang mengadakan kelas pengajian al-Quran secara talaqqi dan musyafahah atau Kelas Mutawwiqin yang mengadakan kelas hafazan al-Quran sebanyak 5 juzu’ sahaja.

 

  1. 1. 
  2. 2. 
  3. 3. 
  4. 4. 

4.0 

4.1 

Demografi Pelajar

Bahagian ini membincangkan dan menghuraikan mengenai demografi guru bagi memberikan gambaran yang jelas mengenai latar belakang orang pelajar.  Responden yang terlibat dalam kajian ini seramai 20 orang pelajar.

Kebanyakan pelajar-pelajar yang belajar di Kelas Pendidikan Tahfiz Kanak-kanak dan Remaja di Masjid Negara adalah yang berumur 17 tahun ke bawah. Majoriti pelajar yang terlibat adalah mereka yang berumur 11 hingga 13 tahun yang melibatkan seramai 12 orang (60%) daripada 20 orang pelajar. Manakala mereka yang berumur antara 14 hingga 17 tahun seramai 5 orang (25%), diikuti mereka yang beumur antara 8 hingga 10 tahun ialah seramai 2 orang (10%) dan yang paling sedikit adalah yang berumur antara 5 hingga 7 tahun iaitu seorang (5%).

                                                        

Majoriti responden telah belajar dalam tempoh 2 tahun ke atas seramai 12 orang (60%), diikuti antara 7 bulan hingga 1 tahun seramai 6 orang (30%), manakala antara 1 tahun hingga 1 tahun 6 bulan seramai seorang (5%) dan antara 0 hingga 6 bulan juga seramai seorang (5%).

                                                           

Majoriti responden telah menghafal sebanyak 1 hingga 38 surah iaitu 9 orang (45%) .Seramai 14 orang responden (70%) telah menghafaz al-quran sebelum masuk Kelas Pendidikan Pendidikan Tahfiz Kanak-kanak dan Remaja dan majoriti responden berjaya menghafaz al-Quran seperti yang telah ditetapkan iaitu seramai 12 orang (60%).

 Personaliti Ibadah

Tahap kekerapan pelaksanaan personaliti ibadah seperti solat fardhu, puasa di bulan Ramadhan , pengetahuan terhadap rukun iman, mengucap dua kalimah syahadah dan Perlaksanaan solat adalah majoriti tertinggi dengan melebihi 50% setiap item.

                                                                    

Tahap kekerapan perlaksanaan terhadap puasa sunat, menghormati ibubapa, menghormati guru  dan merlaksanaan  solat fardhu secara berjemaah di masjid juga berada pada tahap amat tinggi iaiutu melebihi 45%.

 

Tahap kekerapan perlaksanaan terhadap aktiviti hafazan dengan akhlak mulia berada pada tahap amat tinggi iaitu melebihi (55%).

                                                                 

Statistik Diskriptif

 

N

Minimum

Maximum

Mean

Std. Deviation

solat fardhu

20

1.00

5.00

3.8500

1.08942

puasa ramadhan

20

4.00

5.00

4.8500

.36635

tahu rukun Iman

20

3.00

5.00

4.8500

.48936

tahu Rukun Islam

20

4.00

5.00

4.8500

.36635

mengucap syahadah

20

4.00

5.00

4.9500

.22361

pernah solat sunat

20

1.00

5.00

4.0500

1.35627

pernah puasa sunat

20

1.00

5.00

3.5500

1.50350

hormati ibubapa

20

2.00

5.00

4.2500

.78640

menyakiti ibubapa

20

1.00

5.00

2.8500

1.03999

menghormati guru

20

2.00

5.00

4.3000

.86450

ke masjid-solat fardhu

20

2.00

5.00

4.1000

.85224

Hafazan faktor -akhlak mulia

20

3.00

5.00

4.5000

.60698

Valid N (listwise)

20

 

Kesimpulan

Dapatan korelasi menunjukkan hubungan korelasi yang signifikan iaitu semakin tinggi tahap pengajian tahfiz semakin tinggi personaliti ibadah. Dapatan kajian menunjukkan hubungan korelasi 13 item adalah signifikan di mana 8 item menunujukkan tahap signifikan yang amat tinggi iaitu pada tahap 0.01 dan 5 item lagi berada pada tahap 0.05. Justeru ini menunjukkan bahawa Pengajian Tahfiz di kalangan kanak-kanak dan Remaja di Masjid Negara ini khususnya memberikan kesan positif kepada personaliti ibadah.

Imam Al-Ghazali Rahimahullah pernah menyebut, “sesungguhnya anak-anak kita adalah permata”. Dalam membicarakan soal pendidikan anak-anak ini suatu perkara yang perlu kita fahami bahawa mendidik adalah suatu kesenian yang datangnya dari jiwa yang halus dan pemikiran yang kreatif. Suatu yang kreatif dan seni tidak akan lahir dari jiwa yang keras dan peribadi yang kasar yang dipenuhi rasa kejengkelan dicetuskan oleh emosi marah dan hilang pertimbangan akal. Kasih sayang adalah elemen paling utama dalam pr oses mendidik. Teguran dan nasihat yang lahir dari cetusan kasih sayang akan mencairkan hati yang keras sebaliknya  kekasaran dan penonjolan ammarah akan membekukan jiwa yang lembut. Apatah lagi bila yang dihadapan kita itu adalah kanak-kanak yang putih bersih, yang akan belajar apa sahaja yang ada di persekitarannya melalui pemerhatian, yang akan meniru dari qudwah yang ditonjolkan seterusnya mengaplikasikan hasil pembelajaran melalui kebiasaan.

Inilah juga antara tajdid yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam mendidik anak-anak. Kembali dan rujuklah amalan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan cendidkiawan Islam dalam membentuk dan mendidik generasi.

Rujukan

Al-Quranul Karim

Burger, J. M. (1993). Personality (3rd ed.) Pacific Grove, CA: Brooks/Cole.

Carver, C. S., & Scheier, M. F. (2000). Perspectives on personality (4th ed.) Boston: Allyn and Bacon.

Habsah Yeob, 1996, Panduan Hidup Muslim, Karya One : Kuala Lumpur

http://wilderdom.com/personality/L5-1WhatIsPersonality.htmlWhat is Personality?

Nor Hashimah Hashim Dan Yahya Che Lah. PENDIDIKAN PRASEKOLAH: PEMBINAAN GENERASI AKAN DATANG. Universiti Sains Malaysia. http://www.ums.edu.my/spps/prasekolah/program.htm.26 May 2010

Perbezaan Psikologi Islam dan Psikologi Barat, http://personaliti.wordpress.com/2008/06/17/perbezaan-psikologi-islam-dan-psikologi-barat/

4 ciri keunggulan manusia. http://personaliti.wordpress.com/category/psikologi-islam/

PSQ; Rahsia Personaliti Unggul, http://www.bookcafe.com.my/en/pembangunan-diri/psq-rahsia-personaliti-unggul.html

Prof. Madya Dr. Mastura Badzis.Pengarah, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia (Naib Presiden HELWA) .Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal Umur Berasaskan Binaan Kurikulum yang Integratif. http://www.perapi.com/artikel/pendidikan-anak-anak/15-pendidikan-awal-kanak-kanak-islam.html. 11 Julai 2009.

pkukmweb.ukm.my/~penerbit/jurnal_pdf/jis27-01.pdf

pkukmweb.ukm.my/~hairun/kertas%20kerja/sekolah%20agama.pdf

Ridley, M (1999). Genome: The autobiography of a species in 23 chapters. London: Fourth Estate.

Schultz, D., & Schultz, S.E. (1994). Theories of personality (5th ed.) Pacific Grove, CA: Brooks/Cole.

Zulkifli bin Dahalan. PENDIDIKAN ISLAM DALAM PEMBELAJARAN PRASEKOLAH: KAJIAN TERHADAP KURIKULUM PENGAJARAN DI BEBERAPA PRASEKOLAH TERPILIH. Universiti Teknologi MARA. http://www.ums.edu.my/spps/prasekolah/program.htm. 26 May 2010.


[2] Ibid.

[3] Ibid.

[4] Schultz, D., & Schultz, S.E. (1994). Theories of personality (5th ed.) Pacific Grove, CA: Brooks/Cole.m/s8

[6] Ibid.

[7] Ibid.

[8] Ibid.

[11] Ibid.

[12] Habsah Yeob, 1996, Panduan Hidup Muslim, Karya One : Kuala Lumpur, m/s ix

[13] Ibid.

[14] Prof. Madya Dr. Mastura Badzis.Pengarah, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia (Naib Presiden HELWA) .Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal Umur Berasaskan Binaan Kurikulum yang Integratif. http://www.perapi.com/artikel/pendidikan-anak-anak/15-pendidikan-awal-kanak-kanak-islam.html. 11 Julai 2009.

[15] Ibid

[16] pkukmweb.ukm.my/~penerbit/jurnal_pdf/jis27-01.pdf

[17] Nor Hashimah Hashim Dan Yahya Che Lah. PENDIDIKAN PRASEKOLAH: PEMBINAAN GENERASI AKAN DATANG. Universiti Sains Malaysia. http://www.ums.edu.my/spps/prasekolah/program.htm.26 May 2010.

[18] Zulkifli bin Dahalan. PENDIDIKAN ISLAM DALAM PEMBELAJARAN PRASEKOLAH: KAJIAN TERHADAP KURIKULUM PENGAJARAN DI BEBERAPA PRASEKOLAH TERPILIH. Universiti Teknologi MARA. http://www.ums.edu.my/spps/prasekolah/program.htm.26 May 2010.

[19] pkukmweb.ukm.my/~hairun/kertas%20kerja/sekolah%20agama.pdf

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s