PENGETAHUAN PEDAGOGIKAL KANDUNGAN (PPK) PENGAJARAN TAUHID DALAM KALANGAN GURU SEKOLAH RENDAH AGAMA(SRA) JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR(JAIS) DAERAH HULU LANGAT:SATU TINJAUAN AWAL

Image

ZETTY NURZULIANA RASHED

FAKULTI PENDIDIKAN,KUIS

 

SITI RASHIDAH ABD.RAZAK

ROSFAZILA AB.RAHMAN

AKADEMI ISLAM,KUIS

 

SITI SUHAILA IHWANI

AB.HALIM TAMURI

FAKULTI PENDIDIKAN, UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

 

ABSTRAK

Pendidikan Islam adalah matapelajaran yang bermatlamat untuk melahirkan insan yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak.Subjek tauhid merupakan salah satu komponen akidah yang terdapat dalam Pendidikan Islam.Ia merupakan dasar dan berhubungkait dengan konsep keimanan dan kepercayaan kepada Allah Taala.Guru Pendikan Islam memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi intelek,jasmani, emosi dan rohani. Namun begitu bagaimana seorang guru menyampaikan isi pelajaran tersebut perlu diberi perhatian supaya pelajar dapat memahaminya dengan mudah dan ianya memberi kesan terhadap keimanan seorang pelajar kepada penciptaNya iaitu Allah Taala. Kajian ini ingin mengupas dan membincangkan pengetahuan pedagogi isi kandungan(PPK) yang merupakan sejenis pengetahuan yang unik bagi seseorang guru.Ia merujuk kepada cara guru menyampaikan isi kandungan agar mudah difahami dan dapat menggalakkan kefahaman konseptual pelajar terhadap pelajaran tauhid yang diajar di peringkat sekolah rendah agama.Kajian tinjauan awal ini melibatkan dua orang guru yang berkhidmat dengan JAIS lebih dari 5 tahun pengalaman dan dua orang yang kurang dari 5 tahun pengalaman mengajar di sekolah rendah agama(SRA) JAIS bagi subjek tauhid.Kajian tinjauan  awal ini menggunakan kaedah pemerhatian dan temubual yang dipilih secara rawak yang melibatkan guru-guru yang mengajar di SRA daerah Hulu Langat.

PENDAHULUAN

Keyakinan dalam aspek tauhid amat susah untuk terbentuk dalam jiwa kanak-kanak kerana ia memerlukan kejelasan fikiran yang dikukuhkan dengan dalil-dalil naqliyyah dan aqliyyah sehingga menghilangkan sebarang keraguan.Asas dalam Pendidikan Islam ialah mengenal Allah,mentauhidkan Allah,meyakini dan menyerahkan diri kepada Allah S.W.T.Oleh itu,pengajaran akidah di peringkat kanak-kanak ini memerlukan penggunaan bahasa,contoh dan bukti yang mudah difahami ,idea yang bernas dan penggunaan ayat Quran yang berkaitan dengan dengan tajuk yang yang dibincangkan.Pendidikan akidah perlu didasari dengan kefahaman yang jelas yang dapat mengesan emosi,perasaan dan jiwa tanpa sebarang syak dan keraguan(Ahmad Rejab,2001).Ia juga perlu melalui beberapa peringkat bermula dari kelahiran,mumayyiz,remaja dan dewasa.(Abdullah Nasih,2002).Setelah memiliki pegangan tauhid yang kukuh dan ilmu berteraskan Tauhid,maka akal diberikan kebebasan untuk terus berfikir bagi menghasilkan idea dan pemikiran baru.Firman Allah dalam surah (Al-Zariat:56):

“dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”

Ini menjelaskan tujuan utama penciptaan manusia adalah beribadah kepada Allah, justeru pendidikan tentang ibadah perlu berteraskan tauhid.

OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini secara  umumnya bertujuan mengkaji dan meneliti pengetahuan pedagogi isi kandungan yang dimiliki oleh guru-guru di SRA(JAIS).Kajian pada peringkat awal adalah untuk meneroka kefahaman terhadap ciri-ciri subjek dan tanggapan terhadap ciri-ciri pengajaran tauhid tersebut.Seterusnya menjurus perbincangan tentang aspek komponen PPK yang dimiliki oleh guru-guru tersebut semasa proses pengajaran di dalam bilik darjah.Model Shulman(1987) dijadikan sebagai panduan untuk memahami proses ini yang mana terdiri daripada peringkat kefahaman,transfomasi,tindakan pengajaran,penilaian,refleksi dan kefahaman baru.Satu garis panduan adalah diharapkan dapat dihasilkan untuk dijadikan panduan kepada dalam pengajaran pendidikan Tauhid ini.

Secara khususnya kajian ini adalah bertujuan untuk mencapai objektif-objektif kajian seperti berikut:

1.         Mengetahui tahap kefahaman guru-guru pendidikan Islam yang berpengalaman dan yang baharu terhadap ciri-ciri pengetahuan kandungan subjek tauhid.

2.         Mengenalpasti tanggapan guru-guru pendidikan Islam yang berpengalaman dan yang baharu terhadap ciri-ciri pengajaran subjek tauhid.

3.         Mengenalpasti komponen pengetahuan isi kandungan, pengetahuan pedagogi, pengetahuan terhadap murid dan pengetahuan terhadap kurikulum dalam menghasilkan PPK pengajaran tauhid.

4.         Membuat perbandingan kefahaman terhadap ciri-ciri subjek tauhid dengan amalan PPK pengajaran tauhid di antara guru-guru yang berpengalaman dengan guru-guru yang baharu berkhidmat.

5.         Membincangkan bagaimana komponen-komponen pengetahuan isi kandungan PPK diterjemahkan dalam proses pengajaran guru di peringkat kefahaman, transformasi, tindakan pengajaran, penilaian, refleksi dan kefahaman baru.

6.         Membincangkan aspek perbezaan pengetahuan pedagogi kandungan yang diamalkan oleh guru-guru yang berpengalaman dengan guru-guru yang baharu berkhidmat dengan pendekatan pengajaran tauhid menurut perspekstif al-Quran dan Sunnah.

KEPENTINGAN KAJIAN

Dapatan kajian yang diperolehi ini boleh dijadikan panduan dan asas kepada guru-guru SRA menggunakan PPK dalam pengajaran tauhid di sekolah rendah agama.Berdasarkan dapatan kajian, pihak JAIS boleh merangka kursus-kursus dan bengkel-bengkel yang bersesuaian dengan guru-guru untuk memantapkan lagi tahap pemahaman pelajar dalam matapelajaran tauhid yang selama ini dianggap satu subjek yang sukar dan bosan kerana tiada kaedah pengajaran yang sesuai digunakan oleh guru.

BATASAN KAJIAN

Kajian ini berasaskan kepada beberapa batasan:

  1. Penyelidik telah mengkaji kaedah PPK yang digunakan oleh guru-guru Pendidikan Islam dalam pengajaran dan pembelajaran Tauhid di sekolah rendah agama, JAIS.
  2. Responden kajian hanya melibatkan guru-guru Pendidikan Islam yang mengajar di SRA, JAIS di daerah Hulu Langat sahaja.
  3. Kajian ini tidak mengkaji kaedah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam di peringkat sekolah menengah di negeri Selangor.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menggunakan pendekatan yang berbentuk kualitatif yang mana melibatkan keadaan dan suasana yang berlaku di dalam bilik darjah ketika sesi pengajaran tauhid dilaksanakan oleh guru yang berpengalaman dan guru yang baharu.Pemilihan pendekatan kualitatif ini adalah untuk menjawab persoalan yang memerlukan jawapan kepada bagaimana dan apa yang berlaku.Kajian ini juga melibatkan kajian kes.Pengumpulan data adalah menggunakan kaedah temubual secara mendalam, pemerhatian, dan analisis dokumen.

Kajian kes ini akan memberikan penjelasan berkaitan sesuatu kes atau seseorang individu, dan untuk menilai sesuatu program atau individu.Penyelidik memilih kaedah ini adalah untuk meneroka pengetahuan pedagogikal kandungan pengajaran tauhid secara mendalam dan menyiasat bagaimana pengetahuan tersebut dilaksanakan dalam konteks yang sebenar di dalam bilk darjah.

Seramai empat orang responden kajian dipilih dalam kalangan guru-guru yang mempunyai pengalaman lebih dari 5 tahun dan yang kurang dari 5 tahun pengalaman yang berkhidmat dengan Jabatan Agama Islam Selangor.(JAIS).Pemilihan ini berdasarkan rekod kerja Bahagian Pendidikan Islam,JAIS.Responden yang dipilih adalah terdiri dari guru-guru yang berpengalaman mengajar subjek tauhid.Mereka juga mempunyai latihan ikhtisas dalam pendidikan.

Data kajian diperoleh daripada temubual berstruktur dan analisis dokumen.Sesi temubual adalah untuk mengenalpasti pengetahuan dan pengalaman PPK responden dalam aspek pengajaran tauhid.

Dokumen yang dianalisis adalah huraian sukatan pelajaran bagi matapelajaran tauhid yang digunakan oleh responden kajian.

KAJIAN LITERATUR

Pendidikan Tauhid

Menurut Dr Abdul Kareem Zaidan dalam bukunya Dasar- dasar Ilmu Dakwah, tauhid dalam agama Islam merupakan inti dari Islam itu sendiri. Al Qur’an keseluruhannya berbicara tentang tauhid, baik dalam ayat- ayat yang mengandung cerita, berita tentang adanya Allah dan sifat- sifatnya, dan juga dalam ayat- ayat yang menerangkan makhluk dan perbuatannya serta peraturannya(Abdul Kareem Zaidan, halaman 26).Bersumber dari tauhid lahirlah cabang- cabangnya yang berupa peraturan- peraturan yang mengatur hubungan manusia sesamanya dan manusia dengan Tuhannya.Dalam semua bentuk ibadah dan peraturan- peraturan yang mengatur masyarakat bertujuan untuk memperkuat dan menanamkan ketauhidan dalam hati setiap orang yang beriman. Justeru, pendidikan tauhid amat penting dalam meneruskan kelangsungan hidup beragama.

Dalam ulasan awal Awaluddin Ma’rifatullah, dalam ajaran Islam, ilmu- ilmu yang penting itu boleh dibahagi kepada tiga bahagian iaitu usuluddin(aqidah),feqah(syariah)dan tasawwuf(akhlak), Salehuddin Al Jawiy menyatakan bahawa dalam sepanjang kehidupan selepas baligh sahaja setiap orang Islam mestilah melaksanakan secara serentak ketiga- tiga ilmu tadi. Sama ada dari teori mahupun praktikal, atau dari segi ilmiah dan amaliahnya.(halaman 1)

Dari ketiga- tiga ilmu ini, tapak atau asasnya adalah ilmu usuluddin( tauhid). Di atas tapak ilmu yang menjadi pegangan dan keyakinan setiap orang Islam itu, maka ditegakkan syariat( feqah) dan akhlak(tasawuf). Ilmu usuluddin dalam ajaran Islam amat penting dan utama. Kerana ia mengesahkan syariat dan akhlak. Syariat dan akhlak tidak ada nilai di sisi Allah, kalau aqidah atau usuluddin telah rosak.(halaman 3).

Setiap manusia dilahirkan mempunyai persediaan naluri murni dalam beriman. Ini dijelaskan dalam hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Setiap anak dilahirkan suci bersih.Maka ibu bapanyalah yang akan menjadikan mereka Yahudi atau Nasrani”.

Persekitaran hidup yang akan merubah dan mewarna hidup manusia. Paling hampir dengan diri setiap orang ialah keluarganya, ibu bapanya. Selain dari itu persekitaran masyarakat pergaulan sosial dan suasana hidup akan mempengaruhi kecenderungan manusia. Keadaan iman yang tidak tumbuh dengan sendirinya, sebaliknya ia perlu dibajai dengan ilmu dan amal. Kecenderungan iman yang sedia ada pada manusia itu perlu digilap sejak awal- awal lagi. Itulah sebab dan rahsianya seorang bayi, anak orang-orang islam diazankan selepas ia lahir sahaja ke dunia(Afifi Hj Ahmad,1988)

Penanaman iman dilakukan dengan cara mengajak manusia cintakan Allah dan Rasul-Nya. Takutkan azab neraka-Nya yang dahsyat lagi berkekalan. Sebaliknya merindui nikamt Syurga yang tidak dapat digambarkan keindahannya oleh mata berkekalan(Roslin Syamsuri,1996). Sejarah telah memaparkan bagaimana Rasulullah s.a.w telah berjuang menanam iman di dada para sahabat selama 13 tahun di Mekah, selepas iman kukuh di dada umat Islam, apa jua halangan, rintangan, ujian tidak dapat memalingkan hati mereka dari Allah.

Begitu juga yang dinyatakan oleh Sa’id Ramadhan al Buti (1983), Pertautan dan hubungkait dakwah Nabi Muhammad s.a.w dengan dakwah para anbia’ terdahulu adalah bertujuan memperkuat dan memperkemas atau kesimpulan dan penutupan, sepertimana yang difahamkan dari hadith yang bermaksud:

“Aku dan para anbi’a sebelumku ibarat satu bangunan yang dibina oleh seorang lelaki. Lalu ia membinanya dengan baik dan dipercantikkannya kecuali pada tempat sekeping batu- bata pada suatu sudut. Maka orang ramai datang mengelilinginya dan kagum melihat dan berkata mengapa tidak diletakkan seketul batu- bata di tempat yang kosong itu, maka akulah batu- bata itu dan akulah penyudah segala nabi”

(Riwayat Syaihan)

Daripada hadith di atas dapat difahami bahawa dakwah para anbi’a seluruhnya bersendikan dua asas yang penting iaitu akidah kepercayaan dan perundangan dan akhlak. Dari segi kepercayaan langsung tidak berubah sejak Rasulullah s.a.w hinggalah ke akhir zaman. Tiap nabi menyeru kaumnya kepada kepercayaan tersebut dan tiap nabi juga menyokong dan menegaskan apa yang dibawa oleh nabi yang terdahulu daripadanya. Justeru rangkaian para anbi’a semua diutus supaya manusia menyeru manusia ke arah keimanan dengan Allah S.W.T

P ERANAN DAN TUJUAN PENDIDIKAN ISLAM

Mohammad Natsir adalah tokoh nasional dan antarabangsa yang memiliki integriti pribadi dan komitmen yang kuat untuk memajukan bangsa dan negara. Natsir selain sebagai seorang negarawan yang handal, ia juga termasuk pemikir dan arkitek pendidikan Islam yang serius.
Landasan ideologis Natsir dijiwai oleh pemahamanya terhadap ajaran agama Islam. Dalam buku karanganya yang berjudul Capita selecta mengutip H.A.R. Cribb di dalam bukunya Whither Islam mengatakan: “Islam is indeed much more than a system of theology, it is a complete civilization” (Islam sesungguhnya lebih dari sekadar sebuah agama, ia adalah suatu peradaban yang sempurna).

Pendidikan Islam adalah berdasarkan Ketuhanan yang Maha Esa dan bertujuan akhlak yang mulia dengan tidak melupakan kemajuan dunia dan ilmu pengetahuan yang berguna baik untuk individu atau masyarakat. Ini adalah kerana agama Islam ialah agama yang menghimpun kebaikan dunia dan kebahagiaan akhirat, agama yang mementingkan rohani dan jasmani. Sebab itu pendidikan Islam memiliki tujuan kebaikan rohani dan jasmani dengan kata lain kebaikan dunia dan akhirat.

Sebagai pemikir dan arkitek pendidikan, Natsir selain menulis karya ilmiah yang berisikan gagasan dan pemikiran tentang pembaharuan dan kemajuan pendidikan Islam, ia juga adalah pelaku pendidikan yang terbukti hebat. Natsir melihat bahawa masalah pokok untuk mengatasi keterbelakangan dalam pendidikan adalah dengan merombak sistem dan kurikulum yang dikotomis kepada sistem yang integrated antara ilmu agama dan umum, dan dengan mempersiapkan guru yang komitmen-profesional dan dapat menjadi teladan bagi peserta didik.

Pendidikan Islam sangat memperhatikan aspek pembentukkan Muslim yang beriman kepada penciptanya, mengetahui kedudukanya, tugasnya dalam menggunakan potensi alam yang selalu berprinsip pada jalan Allah. Dan juga muslim yang tahu akan apa yang ada di sekitarnya serta boleh memanfaatkanya sehingga memberikan manfaat untuk kehidupanya, menyebarkan keadilan dan perdamaian antara sesama manusia di jagat raya, dan peribadi yang tahu akan kewajiban yang harus dikerjakan dan tahu pula akan haknya yang harus diambil serta saling bantu-membantu dalam kebersama guna kesejahteraan hidup dan kebahagian manusia.
Ada dua hal yang sangat mempengaruhi M. Natsir dalam melihat dan memahami Islam. Kedua soal ini menyangkut Iman (kepercayaan) dan kepedulian pada masyarakat: masalah Hablur minallah, Hamblum minannas (hubungan dengan Allah, hubungan dengan sesama manusia)

Dalam hubungan ini terdapat enam rumusan yang dimajukan Natsir.
Pertama, pendidikan harus berperanan sebagai saranan untuk memimpin dan membimbing agar manusia yang dikenakan sasaran pendidikan tersebut dapat mencapai pertumbuhan dan perkembangan jasmani dan rohani secara sempurna.

Kedua, pendidikan harus diarahkan untuk menjadikan anak didik memiliki sifat – sifat kemanusiaan dengan mencapai akhlak al – karimah yang sempurna.

Ketiga, pendidikan harus berperanan sebagai saranan untuk menghasilkan manusia yang jujur dan benar (bukan peribadi yang hipokrit).

Keempat, pendidikan berperanan membawa manusia agar dapat mencapati tujuan hidupnya, iaitu menjadi hamba Allah S.W.T Dalam pandangan Natsir, pendidikan memiliki tujuan yang sama dengan tujuan hidup iaitu menghambakan diri kepada Allah sebagaimana termaktub dalam Al-Qur’an surat Ad – Dzariyat, ayat 56-58 :

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan. Sesungguhnya Allah dialah Maha pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh.”

Di sinilah kekuasaan mutlak yang harus ditaati. Ketaatan kepada Allah yang mutlak itu mengandung makna menyerahkan diri secara total kepada Allah. Menjadikan manusia menghambakan diri hanya kepada – Nya.

Kelima, pendidikan harus dapat menjadikan manusia yang dalam segala perilaku atau interaksi vertikal mahupun horizontalnya selalu menjadi rahmat bagi seluruh alam. Sebagaimana fungsi Islam rahmatan lil’alamin bagi seluruh jagat raya tanpa memandang perbezaan-perbezaan ras, suku, golongan dan lain-lain

Keenam, pendidikan harus benar – benar mendorong sifat – sifat kesempurnaannya dan bukan sebaliknya, iaitu menghilangkan dan menyesatkan sifat – sifat kemanusiaan. Hal ini sejalan dengan firman Allah dalam surat At-Tin Ayat, 4:

Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya . Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; Maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.”

Menurut Natsir, tujuan pendidikan pada hakikatnya adalah merealisasikan idealiti Islam yang pada intinya menghasilkan manusia yang berperilaku Islami, iaitu beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T. Menurut M. Natsir, seorang hamba Allah adalah orang yang ditinggikan darjatnya oleh Allah, sebagai pemimpin manusia. Mereka menjalankan perintah Allah S.W.T dan berbuat baik kepada sesama manusia, menunaikan ibadah terhadap Tuhannya sebagaimana dinyatakan dalam Al-Qur’an surah Al Baqarah ayat 177:

“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi Sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari Kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. mereka Itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka Itulah orang-orang yang bertakwa.”

Berdasarkan ayat tersebut di atas, seorang hamba Allah adalah mereka yang memiliki enam sifat sebagai berikut. Pertama, memiliki komitmen iman dan tauhid yang kukuh kepada Allah serta terpantul dalam perilakunya sehari – hari. Kedua, memiliki kepedulian dan kepekaan sosial dengan cara memberikan bantuan dan santunan serta mengatasi kesulitan dan penderitaan orang lain. Ketiga, senantiasa melakukan hubungan vertikal dengan Tuhan dengan menjalankan ibadah solat secara berterusan. Keempat, senantiasa melakukan hubungan horizontal sesama manusia dengan cara memberikan sebahagian harta yang dimiliki kepada orang lain. Kelima, memiliki akhlak yang mulia yang ditandai dengan kepatuhan dalam menunaikan janji yang telah diucapkannya, Keenam, memiliki jiwa yang tabah dalam menghadapi pelbagai situasi.

Dalam tulisannya yang berjudul Tauhid sebagai Dasar Pendidikan, M. Natsir menceritakan tentang pentingnya tauhid dengan mengambil contoh pada seorang professor Fizik bernama Paul Ehrenfest yang mati membunuh diri. Ia berasal dari keluarga baik – baik dan telah memperoleh pendidikan Barat tingkat tinggi. Telah banyak penemuan – penemuan rahsia alam yang dihasilkannya dan telah menjadi bahan rujukan dalam dunia ilmu pengetahuan. Pekerjaannya sehari hari tidak pernah tercela. Demikian pula pergaulannya selalu dengan orang yang baik – baik, bahkan ia sendiri termasuk orang yang ramah. Inilah gambaran kecil seorang terpelajar yang tidak dibekali dengan ruh tauhid.

Semua kegiatan seorang hamba Allah, baik yang berupa ibadah terhadap Ilahi ataupun yang berupa mu’amalah semuanya itu dilakukan dalam rangka persembahan kepada Allah dengan niat (motif) hendak mencapai keredhaanNya (al-Lail 20-21).

Dengan kegiatan ini semua bakat potensi yang ada dalam fitrah kejadian manusia (jasmani dan rohaninya) itu dapat berkembang maju menurut fungsi masing-masing, berkembang dalam keseimbangan: otak dan hati, amal dan ibadah, kecakapan dan akhlak, doa dan ikhtiar, dari tingkat ketingkat yang lebih tinggi.

Konsep Pengetahuan Pedagogi  Kandungan(PPK)

Pengajaran dan pembelajaran(P&P)yang berkesan adalah datang dari penyampaian yang berkesan oleh sesorang guru.Keberkesan P&P tersebut berkait rapat dengan pengetahuan dan penguasaan PPK oleh guru.Hal ini bersesuaian dengan pendapat Rohaty(2007) yang menyatakan bahawa seorang guru berkesan mempunyai ciri-ciri tertentu antaranya  menguasai subjek yang diajar,memahami pelajar serta mempunyai ilmu asas pendidikan yang kukuh.

Menurut Shulman(1986)PPK guru dibina melalui lima peringkat iaitu kefahaman,transformasi,pengajaran,penilaian dan refleksi.PPK akan bersifat dinamik kerana PPK guru akan bertambah apabila guru belajar,pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang baik,melakukan kolaborasi dengan guru lain,mengikuti proses pembelajaran secara dekat dan berkongi pengalaman dengan guru lain.(Ahmad Yunus&Ab.Halim,2010).

Kajian  Shulman (1987), mengenalpasti terdapat tiga domain utama pengetahuan guru iaitu pengetahuan kandungan,pengetahuan pedagogi kandungan(PPK) dan pengetahuan kurikulum.Secara ringkasnya,PPK ini berkaitan dengan kebolehan guru mengubah kandungan kepada bentuk yang sesuai untuk pengajaran serta sesuai dengan kebolehan dan latar belakang pelajar.Ini menunjukkan bahawa kefahaman dan keupayaan guru bukan sahaja bergantung kepada pengetahuan isi kandungan dan pengetahuan pedagogi tetapi juga bergantung kepada kepada pengetahuan guru berkenaan dengan pedagogi yang berkaitan dengan subjek tertentu untuk pelajar yang khusus.

Dalam aspek PPK ini juga, menurut Feiman-Nemser dan Buchmanm (1986) dan Remillard (1996), guru perlu fikirkan bagaimana hendak membina hubungan di antara kefahaman guru tentand isi kandungan dengan kefahaman pelajar berkenaan isi kandungan yang sama.Untuk membina hubungan ini, guru perlu memikirkan secara pedagogikal di mana guru perlu menimbangkan cara mengajar sesuatu mata pelajaran dari perspektif pelajar, guru sendiri dan dan isi kandungan subjek tersebut.

Di antara ciri penting dalam PPK juga guru perlu bagaimana hendak mengajar topik yang spesifik yang dapat meningkatkan kefahaman konseptual pelajar.(Grossman 1990;Fernandez-Balboa&Stiehl 1995;De Corte,Greer&Verschffel 1996).Menurut Shulman,bagi sesuatu topik,PPK melibatkan (a) analogi,contoh,penerangan,dan demostrasi yang efektif,(b)kefahaman tentang aspek-aspek yang membuatkan pembetulan topik itu senang atau susah,(c)miskonsepsi pelajar tentang topik dan (d)pengetahuan tentang strategi pengajaran yang efektif.

PERBINCANGAN DAPATAN KAJIAN

Tahap kefahaman guru-guru pendidikan Islam yang berpengalaman dan yang baharu terhadap ciri-ciri pengetahuan kandungan subjek tauhid.

Semua responden didapati memiliki tahap pengetahuan yang baik terhadap pengetahuan isi kandungan tauhid yang berbentuk abstrak dan konseptual.Kefahaman guru-guru tersebut mendorong mereka mengolah pengetahuan kandungan tersebut kepada bentuk yang sesuai dan mudah difahami oleh murid.Pelbagai kaedah pengajaran dan huraian terhadap isi kandungan digunakan selaras dengan latar belakang murid.Walaubagaimanapun terdapat juga sesetengah responden masih lagi bergantung kepada buku teks dan mengajar mengikut isi-isi penting yang terdapat di dalam buku teks.

Pandangan guru-guru pendidikan Islam yang berpengalaman dan yang baharu terhadap ciri-ciri pengajaran subjek tauhid.

Semua responden mempunyai tanggapan yang khusus terhadap pengajaran tauhid ini yang mana ianya perlu dikaitkan dengan suasana dan persekitaran murid.Prinsip asas akidah yang tertanam di peringkat kanak-kanak perlu dikembangkan dan diperkukuhkan dengan kefahaman melalui pembacaan yang meluas dan kajian-kajian yang dijalankan.Pengajaran tauhid ini perlu kepada huraian dan penjelasan yang terperinci  beserta dengan dalil-dalil dan contoh-contoh yang mudah secara berperingkat mengikut langkah perkembangan pengajaran sehingga murid benar-benar berpuashati dengan penyampaian dan penjelasan guru.Menurut(Ahmad Rejab,2001),Rasulullah s.a.w menghapuskan kesan-kesan kepercayaan ,nilai,budaya dan kefahaman warisan arab jahiliah supaya tidak bercampur aduk dengan paradigm akidah,nilai dan budaya kehidupan sesorang mukmin.

Mengenalpasti komponen pengetahuan isi kandungan, pengetahuan pedagogi,  pengetahuan terhadap murid dan pengetahuan terhadap kurikulum dalam menghasilkan PPK pengajaran tauhid.

Merujuk kepada kandungan utama kajian,PPK guru dibahagikan kepada empat komponen yang utama iaitu pengetahuan isi kandungan,pengetahuan pedagogi,pengetahuan berkaitan kurikulum dan pengetahuan berkaitan murid.Berdasarkan pelbagai sumber data yang diperolehi dari kesemua responden kajian,mendapati kesemua guru mempamerkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan komponen yang telah ditentukan di dalam kajian.

Pengetahuan isi kandungan

Menurut responden kajian, mereka memliki kefahaman terhadap kepentingan pengetahuan isi kandungan untuk memastikan keberkesanan pengajaran tauhid yang merangkumi aspek kesediaan guru untuk mengajar, pengetahuan kandungan secara mendalam, pengukuhan pengetahuan kandungan dan penguasaan ilmu kandungan sukatan.

Pengetahuan pedagogi subjek

Pengetahuan pedagogi merangkumi aspek penggunaan kaedah dan teknik pengajaran,pengurusan bilik darjah,penggunaan Alat Bantu Mengajar(ABM),pendekatan berpusatkan pelajar,pendekatan berpusatkan murid dan pengurusan masa.Bagi responden yang mempunyai pengalaman yang luas dan mempunyai ikhtisas dalam pendidikan, mereka menggunakan semaksimum yang mungkin pengetahuan pedagogi subjek ini sehingga mewujudkan suasana P&P yang menarik.

Pengetahuan Berkaitan Murid

Kesemua responden amat peka terhadap kepelbagaian latar belakang murid yang meliputi asas pengetahuan akidah, asas kemahiran al-Quran dan asas kemahiran jawi, aspek kognitif pelajar, dan sikap murid terhadap subjek tauhid seperti minat, kecenderungan dan tahap kesediaan murid.

Pengetahuan kurikulum

Kesemua responden memiliki pengetahuan terhadap kurikulum Pendidikan Islam secara umum dan kurikulum pendidikan tauhid secara khusus yang merangkumi aspek sukatan kurikulum, pelaksanaan kurikulum berasaskan penerapan nilai-nilai Islam, dan pelaksanaan kurikulum berorientasikan peperiksaan.

Kefahaman terhadap ciri-ciri subjek tauhid dengan amalan PPK pengajaran tauhid di antara guru-guru yang berpengalaman dengan guru-guru yang baharu berkhidmat.

Kajian mendapati kesemua responden memiliki pandangan yang sama berkaitan dengan PPK di dalam bilik darjah.Terdapat beberapa pendekatan dan teknik pengajaran yang telah diambil oleh guru bagi memastikan p&p berjalan dengan lancar.Kefahaman dan persepsi guru yang berpengalaman,mereka lebih suka menggunakan teknik tradisional iaitu bercerita dan memberi penerangan kepada pelajar.Manakala bagi guru yang baharu,mereka banyak menggunakan kaedah analogi dan pendekatan teknologi terkini.Kajian mendapati setiap responden memiliki ppk secara peribadi berdasarkan pengalaman dan latihan ikhtisas yang mereka perolehi yang akan membentuk pengetahuan praktikal dalam pelaksanaan pengajaran tauhid yang berkesan.

Komponen-komponen pengetahuan isi kandungan PPK diterjemahkan dalam proses pengajaran guru di peringkat kefahaman, transformasi, tindakan pengajaran, penilaian, refleksi dan kefahaman baru.

Melalui pemerhatian dan penilaian terhadap semua responden kajian mendapati responden kajian membuat tindakan susulan, bimbingan dan latihan pengukuhan untuk mengukuhkan lagi tahap kefahaman dan kejelasan murid terhadap konsep-konsep tauhid yang disampaikan oleh guru.

Pendekatan pengajaran tauhid menurut perspektif al-Quran dan Sunnah.

Dapatan kajian mendapati responden tidak menitikberatkan aspek pendekatan pengajaran tauhid menurut perspektif al-Quran dan Sunnah.Kebanyakan dari responden tidak memberi galakan kepada pelajar untuk bertadabur dan menghayati kekuasaan Allah melalui kupasan Al-Quran dan Sunnah.Terdapat responden kajian tidak menghuraikan secara terperinci terhadap dalil-dalil pada setiap langkah pengajaran.          

CADANGAN

Demi memastikan ilmu tauhid dapat ditanam ke dalam diri anak didik, golongan guru terlebih dahulu wajar mendalami ilmu tauhid dengan sebaiknya. Ini merupakan satu keperluan asas kerana ilmu tauhid bukan sekadar memerlukan ilmu, bahkan para dai’e perlu mempunyai kekuatan jiwa, akal dan perasaan dalam menyampaikan ilmu tauhid.

Guru-guru yang mengajar pelajaran pendidikan Islam perlu mempunyai  latihan ikhtisas supaya mampu memahami konsep asal pengetahuan pedagogi secara amnya dan memahami pengetahuan pedagogi isi kandungan setiap subjek yang diajar secara khususnya.

Pihak Bahagian Pendidikan Islam JAIS perlu memberi perhatian terhadap aset pengetahuan dan pengalaman unik yang dimliki oleh guru-guru yang mengajar subjek tauhid sebagai bahan perkongsian pengalaman dengan guru-guru Pendidikan Islam yang lain.

Dapatan kajian ini sesuai dijadikan sebagai panduan dalam pengajaran tauhid bagi guru-guru pendidikan Islam di SRA.

Kajian lanjutan akan dijalankan dalam bentuk kualitatif dan kuantitatif pada skala yang lebih besar.

PENUTUP

Kesimpulannya,melalui temubual dan pemerhatian didapati komponen PPK yang dimiliki seperti pengetahuan isi kandungan,pengetahuan pedagogi subjek,pengetahuan guru berkaitan murid,pengetahuan kurikulum, dan kefahaman mereka terhadap ciri-ciri subjek dan tanggapan terhadap pengajaran tauhid adalah saling berkaitan.Kesemua komponen ini didapati saling lengkap melengkapi dan berintegrasi membentuk pengalaman PPK guru dalam pengajaran tauhid.Melalui lingkaran model tindakan pengajaran Shulman(1987) mendapati sebahagian respon mempunyai kefahaman yang jelas  terhadap objektif pengajaran,memindahkan bahan pengajaran kepada murid secara sistematik,melaksanakan penilaian semasa pengajaran,refleksi selepas selesai sesi pengajaran dan meperoleh kefahaman baru untuk mengembangkan kemahiran dan pengalaman terhadap pengajaran tauhid.Bagi mengembalikan semula kemuliaan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini prosesnya adalah bermula dari awal,iaitu pada umur kanak-kanak lagi.Sistem pendidikan Islam perlu berasaskan fitrah yang bersifat tauhidik dan holistik.

RUJUKAN

Abdul Kareem Zaidan.(1979).Dasar- dasar Ilmu Dakwah, Dewan Pustaka Fajar  25-26

Afifi Hj Ahmad( 1988).Mencari Kekuatan Dalam Islam, Pustaka Al Mizan 18-19

Ahmad Yunus Kasim&Ab.Halim Tamuri.(2010).Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan Pengajaran Akidah:Kajian Kes Guru Cemerlang Pendidikan Islam.Journal of Islamic and Arabic Education 2(2),2010 13-30

Fernandez-Balboa,J.M.,&Stielhl,J.1995.The generic nature of pedagogical content knowledge among college professors.Teaching and teacher Education,11:293-306

Grossman,P.L.1990.The making of teacher:Teacher knowledge and teacher education.New York:Teachers College Press.

Harjono, Anwar, dkk.  (2001)  Pemikiran dan Perjuangan M. Natsir, Pustaka Firdaus, Jakarta .

Luth, Thohir. M. Natsir(1999) dakwah dan pemikiranNya (Gema insani press. Jakarta) .

Natsir, M. Capita Selecta (Bandung, N.V Penerbitan Van Hoeve, XX)
Natsir, M. (2000) Fiqh da’wah (cetakan XI media da’wah Jakarta .

Rohaty Mohd Majzub.(2007).Guru Berkesan.Profesion Perguruan Bangi:Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Roslin Syamsuri(1996), Arus Kebangkitan Remaja Muslim Ke arah Islam Secara Global:Pustaka Ilmi 132-180

Sayid Ramadhan al Buti( 1983).Fiqh al Sirah, Dewan Pustaka Fajar 39-40

Salehuddin Al Jawiy(2000). Sifat 20 Ilmu Tauhid Awaluddin Ma’rifatullah: Perniagaan Jahabersa. 1-4

Shulman,L.S.(1986).Those who understand:Knowledge growth in teachin.Educational Reseacher.15(2),4-14.

Shulman,L.S.(1987).Knowledge and teaching:Foundations of the new reform.Harvard Educational Review,57(1),1-22

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s